Wednesday, April 1, 2009

Tiga petinju muda berpeluang ke Laos

TIGA petinju pelapis memiliki peluang cerah untuk diserapkan ke skuad utama bagi menggalas cabaran negara pada Sukan SEA di Laos penghujung tahun ini.

Ketua jurulatih skuad pelapis negara, Hisham Hashim berkata, jika petinju terbabit terus berusaha gigih, tidak mustahil nama mereka akan diserapkan dalam skuad kebangsaan untuk beraksi pada temasya sukan dwi-tahunan itu kelak.

Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan nama petinju terbabit bagi memberi peluang kepada pelatih lain untuk terus meningkatkan prestasi masing-masing.

"Setakat ini seramai 10 petinju pelapis kebangsaan berlatih di pusat latihan MSN Keramat, Kuala Lumpur. Jika mereka terus bekerja keras mereka memiliki peluang untuk menyertai Sukan SEA di Laos nanti.

"Setakat ini, ada tiga dalam perhatian saya, namun saya tidak boleh dedahkan nama mereka. Saya mahu melihat pelatih lain juga bersaing untuk merebut tempat.

"Saya melihat petinju muda negara telah menunjukkan semangat juang yang tinggi. Itu yang kita mahu iaitu terus bekerja keras, tidak terlalu manja dan sentiasa berusaha untuk melakukan perubahan," katanya kepada Kosmo! semalam.

Hisham berkata, dia menjangkakan ada di kalangan petinju pelapis kebangsaan ini bakal diserapkan ke skuad elit.

"Jika mereka menunjukkan aksi cemerlang mereka akan dinaik pangkat," katanya.

Beliau juga menegaskan, sekiranya ada petinju muda ini gagal mengekalkan tahap kecemerlangan masing-masing, mereka akan dikeluarkan daripada program pelapis kebangsaan.

"Saya sudah maklumkan kepada petinju muda ini, tiada tempat bagi mereka jika gagal mengekalkan kecemerlangan.

"Mereka sendiri sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Kalau mereka rasa tidak mampu mengikut latihan yang diajar mereka akan disingkirkan," katanya.

Sebelum ini, Persatuan Tinju Amatur Malaysia (PTAM) menghantar tiga petinju muda iaitu Mohd. Fuad Mohd. Reduan (48kg), Khayak Azlan (64kg) dan Eswaran Murali (69kg) menyertai Kejohanan Tinju Antarabangsa India di Chandigarh.

No comments:

Post a Comment