SINGAPURA, 4 Jun (Bernama) -- Kesakitan tidak menghalang atlet lawan pedang negara, Nurul Affiq Nazril Ismail meneruskan pertarungan walaupun tewas pada saingan suku akhir acara foil individu lelaki yang berlangsung di Arena OCBC, Hab Sukan Singapura hari ini.
Pujian perlu diberikan kepada Nurul Affiq yang menunjukkan semangat juang yang tinggi walaupun terpaksa bergelut dengan kesakitan belakang lutut kirinya ketika perlawanan menentang Minh Quang Nguyen dari Vietnam.
Aksi beliau juga mencuri tumpuan apabila penonton bangun dan memberi tepukan kepadanya walaupun tewas 4-7 sebelum diusung keluar dari gelanggang.
"Saya tidak mempunyai pilihan lain selain untuk meneruskan perlawanan dan telah cuba melakukan apa yang terdaya," katanya kepada Bernama selepas tamat perlawanan.
Nurul Affiq, 23 berkata beliau mengalami kecederaan itu ketika membuat serangan balas pada suku masa pertama setelah ketinggalan 0-2.
Katanya walaupun mengalami kesakitan dan beberapa kali terpaksa berhenti rehat, dia tetap berusaha memburu mata sehingga tamat perlawanan.
Nurul Affiq yang membuat penampilan pertama di Sukan SEA kali ini berkata kecederaan itu merupakan kecederaan lama yang dialaminya ketika beraksi di temasya Sukan Universiti Asean ke-17 di Indonesia (AUG 2014) pada akhir tahun lepas.
Dia berkata jurulatihnya Tamas Laszlo Medgyes ada bertanya sama ada ingin meneruskan perlawanan namun dia berkeras untuk menamatkan perlawanan.
"Sudah pasti saya rasa kecewa dengan persembahan hari ini namun ianya bukan satu alasan untuk saya patah semangat dan akan meneruskan aksi dalam acara berpasukan foil lelaki yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini jika mendapat kebenaran daripada jurulatih," katanya.
Sumber:BERNAMA
No comments:
Post a Comment