Friday, June 5, 2015

Sock Khim Gagal Tamat Kemarau Emas Selama 26 Tahun

SINGAPURA, 4 Jun (Bernama) -- Malaysia gagal mengakhiri kemarau pingat emas Sukan SEA selama 26 tahun dalam acara ping pong perseorangan wanita apabila wakil negara, Ng Sock Khim, kalah 4-3 kepada pemain Thailand, pada final di Stadium Tertutup Singapura di sini, Khamis malam.

Sock Khim memberi sinar harapan apabila mengatasi Suthasini Sawettabut 11-7 pada set pembukaan sebelum kalah 5-11 pada set berikutnya.

Pada set ketiga, Sock Khim kalah 8-11 sebelum menyamakan kedudukan 2-2 pada set kedua dengan kemenangan 11-9.

Pada set kelima, beliau kalah 6-11 tetapi bangkit semula untuk menyamakan kedudukan 3-3 dengan kemenangan 11-9.

Bagaimanapun, pada set penentuan, pemain Thailand itu menguasai permainan untuk menang 11-4, sekali gus meraih emas manakala Sock Khim terpaksa berpuas dengan pingat perak.

Malaysia kali terakhir merangkul pingat emas dalam acara tersebut melalui Leong Mee Wan pada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Sock Khim berkata beliau kecewa kerana gagal meraih emas sejak pembabitannya dalam Sukan SEA sejak 1999.

"Saya rasa bersalah kerana masih belum memenangi emas Sukan SEA. Saya banyak melakukan kesilapan pada set penentuan," kata Sock Khim, yang juga pemenang pingat perak dalam acara itu di Sukan SEA di Laos pada 2007.


Sumber: BERNAMA

No comments:

Post a Comment