KATRINA (kanan) dan Yhing Huey memperagakan aksi menarik dalam acara renang berirama kategori duet untuk menyumbang pingat emas pertama negara di Pusat Akuatik OCBC, Singapura semalam.
SINGAPURA – Pusat Akuatik OCBC di sini menjadi venue bertuah kepada gandingan Katrina Ann Abdul Hadi dan Zylane Lee Yhing Huey apabila berjaya merangkul pingat emas pertama buat kontinjen negara.
Persembahan menarik dipamerkan Katrina Ann serta Yhing Huey menerusi acara renang berirama kategori duet menyaksikan mereka berjaya mengutip 150.9103 mata keseluruhan dan ia cukup untuk kedua-dua atlet itu meraih kedudukan podium pertama.
Terdahulu, gandingan itu menerima saingan sengit daripada dua atlet Singapura, Stephanie Chen dan Crystal Yap yang mengutip 149.8372 mata.
Kedua-dua gandingan Malaysia dan Singapura itu mempamerkan saingan sengit apabila mereka terikat 30.2667 mata dalam aspek artistik. Bagi aspek gaya bebas, Katrina Ann dan Yhing Huey terpaksa akur terhadap kekurangan 0.3 mata berbanding pasangan Singapura yang meraih 75.8667 mata.
Bagaimanapun, kejayaan Katrina dan Yhing Huey mengutip 75.3436 mata menerusi acara rutin teknikal pada Selasa lalu turut dikira dalam penjumlahan mata keseluruhan. Ia sekali gus mengesahkan kejayaan Katrina Ann dan
Yhing Huey meraih pingat emas apabila pasangan Singapura sekadar meraih 73.9705 mata keseluruhan.
Sementara itu, pingat gangsa pula diraih pasangan Indonesia, Anisa Feritrianti dan Claudia Suyanto yang mengutip 139.0880 mata. Acara tersebut turut disertai Thailand, Vietnam dan Filipina.
Katrina Ann semasa ditemui pemberita jelas mempamerkan kegembiraannya apabila berjaya menyumbang pingat emas pertama untuk kontinjen negara.
“Kami sangat berpuas hati dengan persembahan hari ini (semalam) berbanding apa yang telah kami lakukan semalam (kelmarin) ketika meraih pingat perak untuk acara berpasukan.
“Kami menjalani latihan selama lapan jam sehari sejak beberapa bulan ini dan ia sangat berbaloi. Selagi kami berjaya melakukan yang terbaik, ia cukup untuk membuatkan kami berpuas hati.
“Semoga pingat emas pertama ini mampu membakar semangat atlet-atlet lain untuk menambah kutipan pingat buat kontinjen Malaysia,” katanya.
Sementara itu, pasukan renang berirama negara pula terpaksa berpuas hati apabila sekadar meraih pingat perak dalam kategori kombinasi bebas semalam.
Pasukan yang turut dibarisi Katrina Ann dan Yhing Huey bersama Yan Nie Foong, Hua Wei Gan, Zhen Yu Gan, Zhi Kei Kwong, Yiat Lum Lee, Yiat Xin Lee dan Tasha Jane Taher Ali meraih 73.7333 mata keseluruhan.
Pingat emas dimenangi Singapura menerusi kutipan 77.0667 mata, manakala gangsa pula menjadi milik Indonesia (71.6667 mata).
Skuad renang berirama negara menutup tirai acara tersebut menerusi kutipan satu emas dan dua perak.
Sumber: KOSMO
No comments:
Post a Comment