Friday, June 5, 2015

Malaysia berpesta belasah Thailand

SKUAD bola jaring kebangsaan mencatat kemenangan 71-34 ke atas Thailand pada aksi akhir peringkat kumpulan di Arena OCBC, Singapura semalam.

SINGAPURA – Skuad bola jaring negara terus mempamerkan kecemerlangan pada temasya Sukan SEA 2015 apabila membelasah Thailand 71-34 pada aksi terakhir peringkat kumpulan di Arena OCBC di sini semalam.
Seperti diramal, ‘mesin gol’ skuad negara, Norashikin Kamalzaman sekali lagi membuktikan keupayaannya apabila meledak 41 gol menerusi 50 percubaan pada aksi tersebut.
Dua penjaring berbisa, An Najwa Azizan dan Izyan Syazana Mohd. Wazir pula masing-masing berjaya me­nyum­bat 17 dan 13 gol untuk melengkapkan pesta gol Malaysia meskipun Thailand cuba melawan pada aksi suku masa ketiga serta keempat perlawanan.
Mengulas lanjut, Izyan Syazana yang sentiasa memainkan peranan penting dalam pasukan kebangsaan mengaku mempunyai keinginan tinggi bersama rakan-rakan sepasukannya untuk meraih pingat emas.
“Perlawanan hari ini (semalam) berjalan baik kerana kami memang yakin Thailand dapat ditewaskan. Cuma selepas menukar pemain, kami agak sukar untuk mendapatkan gol.
“Kami mahu menang pingat emas dan kekalkan acara bola jaring pada Sukan SEA 2017 (di Kuala Lumpur). Jadi, sejak awal lagi kami memang mahu menang pingat emas dan tewaskan Singapura pada aksi final nanti.
“Kami cuma bermain mengikut gaya permainan kami dan atas sebab itu kami tidak terpengaruh mengikut rentak pihak lawan. Kami sentiasa menyokong antara satu sama lain,” katanya kepada Kosmo! selepas tamat perlawanan.
Malaysia muncul sebagai pendahulu liga sepusingan selepas meratah Myanmar menerusi keputusan 84-22, Filipina (112-11) dan Brunei (82-24) termasuk kemenangan besar ke atas Thailand.
Malah, skuad bola jaring negara turut berjaya me­leburkan ego Singapura selaku jaguh Asia Tenggara apabila terikat seri 35-35 dan sekali gus me­nempah tiket separuh akhir bertemu Brunei esok.
Dalam perkembangan sama, pemain berusia 22 tahun itu mendedahkan, mereka sudah mempunyai peranca­ngan ‘rahsia’ untuk diterapkan ke atas Brunei yang menghuni tempat keempat liga sepusi­ngan.
“Kami tidak kisah bertemu mana-mana pasukan sekali pun kerana kami sudah bersedia. Kami sudah ada rancangan ‘rahsia’ untuk digunakan pada Sabtu ini (separuh akhir),” jelasnya.
Satu lagi aksi separuh akhir yang akan berlangsung esok ialah naib juara liga sepusingan, Singapura bertemu Thailand.
Sumber:KOSMO


No comments:

Post a Comment