Friday, June 5, 2015

Kim Swee bakal berundur?

Ong Kim Swee

SINGAPURA - Sukan SEA 2015 Singapura dijangka menjadi medan terakhir untuk Datuk Ong Kim Swee membimbing skuad Bawah 23 negara dan dia sudah memberi bayangan tidak lagi berminat meneruskan tugasnya untuk temasya akan datang.

Walaupun masih belum membuat sebarang keputusan terhadap masa depannya, pengendali dari Melaka itu berkata, tiga temasya yang dilalui sudah cukup buatnya dan dia bersedia mengumumkan perkara berkenaan sebaik sahaja pasukan negara menyelesaikan baki perlawanan, menentang Brunei (8 Jun) dan Laos(11 Jun).

“Belum pasti apa yang saya akan lakukan selepas ini dan biar saya habiskan baki dua perlawanan dulu, saya akan buat keputusan selepas itu namun cukuplah tiga Sukan SEA yang telah saya lalui,” katanya dalam sidang akhbar selepas anak-anak buahnya kalah 0-1 kepada Thailand di Stadium Bishan semalam.

Rasa ‘merajuk’ Kim Swee telah dapat dirasakan wartawan sebelum skuad ke Singapura memandangkan dia kelihatan kurang gembira dengan tempoh serta cara persiapan diberikan berbanding ketika menghadapi dua edisi Sukan SEA lalu.
Perkara itu boleh dilihat berdasarkan apa yang diluahkannya apabila menjelaskan tidak wajar menyamakan apa yang berlaku di Singapura dengan empat tahun lalu, iaitu kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas di Indonesia serta Sukan SEA Myanmar 2013.

“Jika anda tanya saya, empat tahun lalu bagaimana kita persiapkan pasukan ini, begitu juga dua tahun lalu, bagaimana? Apabila melihat apa yang dilakukan dalam tempoh persiapan kali ini, kami hanya diberi masa tiga minggu.

“Sedangkan semasa kami menang di Indonesia, skuad itu dibentuk selama dua tahun dan berlatih di Slovakia, begitu juga ketika Sukan SEA di Myanmar, enam bulan mereka mendapat pendedahan di Slovakia.

“Dalam bola sepak, pemain kena beraksi selalu untuk membentuk keserasian dan tengoklah Thailand, ramai pemain mereka pada kali ini bermain dalam Piala AFF serta ada banyak pengalaman, formula yang sama seperti mana Malaysia muncul juara Piala AFF 2010 dan emas Sukan SEA setahun kemudian,” katanya.

Jelasnya, semua pihak perlu menerima kenyataan bahawa Thailand dan Vietnam merupakan dua lawan yang cukup kuat dalam edisi kali ini dan Kim Swee berharap persiapan lebih baik dapat dilakukan pada masa akan datang.

Mengulas mengenai permainan semalam, katanya, biarpun merombak pasukan namun tindakan itu tidak mengubah banyak perkara kerana kali ini skuadnya tidak mempunyai pemain yang menonjol dan semua pemain boleh dikatakan agak sederhana.

“Tidak banyak perbezaan jika perhatikan dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini yang mana kita beraksi dengan 10 orang semasa menentang Timor Leste, kemudian bergelut dengan Vietnam dan aksi hari ini,” katanya. 

Sumber: UTUSAN

No comments:

Post a Comment