Sunday, June 7, 2015

Khairil mula pamer taring


                       KHAIRIL


SINGAPURA – Atlet jalan kaki negara, Muhammad Khairil Harith Harun berjaya membalas kekecewaan dua tahun lalu apabila memenangi pingat gangsa acara 20 kilometer (km) pada temasya Sukan SEA 2015 semalam.

Pada temasya yang sama di Myanmar dua tahun lalu, Khairil gagal menamatkan saingan apabila penyertaannya dibatalkan dengan berbaki 200 meter (m) dari­pada garisan penamat.

Kini, atlet kelahiran Pasir Mas, Kelantan itu berjaya me­nebus kekecewaan itu semalam dengan melakukan catatan masa satu jam 40 minit dan 57 saat walaupun ia masih terlalu jauh jika diban­dingkan dengan rekod peribadinya, 1’29:40s.

“Pertama sekali, saya rasa amat bersyukur kerana berjaya menang pingat gangsa. Kali ini saya berjaya menamatkan saingan selepas gagal me­lakukannya dua tahun lalu di Myanmar.

“Ini merupakan penyer­taan kedua saya pada temasya Sukan SEA. Sejujurnya, memang saya kurang puas hati dengan catatan masa yang saya lakukan. cuaca panas te­lah menjejaskan prestasi saya hari ini (semalam).

“Bagaimanapun, saya tetap tidak berputus asa. Saya kuatkan mental dan semangat, apatah lagi de­ngan kehadiran jurulatih saya (V. Subramaniam). Ini hadiah buat dia,” katanya selepas tamat saingan di East Coast Park, Singapura semalam.

Pingat emas acara tersebut dimenangi jaguh Asia Tenggara, Hendro Hendro dari Indonesia de­ngan catatan masa 1’34:23s manakala perak berjaya diraih oleh atlet Vietnam, Vo Xuan Vinh (1’38:38s).

Sementara itu, wakil tunggal negara dalam acara 20km jalan kaki wanita, ­Elena Goh Ling Yin pula menamatkan saingan di tempat keempat, di belakang atlet Vietnam, Ngu­yen Thi Thanh Phuc (emas), atlet Myanmar, Soe Than Than (perak) dan Phan Thi Bich Ha dari Vietnam (gangsa).

“Saya tidak berpuas hati dengan catatan masa hari ini (semalam) tetapi ini adalah penyertaan pertama dalam Sukan SEA. Saya akan cuba yang terbaik selepas ini.

“Saya mendahului semua pesaing pada tiga pu­singan awal, kemudian lutut saya mula rasa sakit. Saya cuba fokus dan tumpukan ­perhatian untuk menamatkan saingan,” jelas Elena.

Sumber: KOSMO

No comments:

Post a Comment