KATRINA (kiri) dan Zylane mempemerkan pingat emas dimenangi.
Ketua Kontinjen negara Datuk Seri Mohammad Norza Zakaria percaya pingat emas pertama disumbangkan Katrina Ann Abd Hadi dan Zylane Lee Ying Huey dalam acara renang berirama duet semalam mampu mencetuskan semangat luar biasa atlet negara dalam buruan pingat kali ini.
Walaupun ditentang hebat atlet Singapura serta diberikan tekanan penyokong tuan rumah, semangat dan kesungguhan pasangan negara itu mendapat pujian.
“Walaupun diberi cabaran hebat, mereka kekal dengan aksi terbaik untuk emas kita. Selain itu, kena pastikan lubuk yang kita kuasai akan terus kekal.
“Ini emas pertama yang boleh mencetuskan semangat atlet lain untuk memburu kejayaan sama dan saya harap merekra boleh melonjakkan semangat luar biasa seperti ditunjukkan dua atlet renang berirama ini,” katanya kepada pemberita selepas diberikan penghormatan untuk mengalung pingat selepas berakhir acara itu di Pusat Akuatik OCBC.
Norza berkata, beliau sudah mengadakan pertemuan dengan semua pengurus setiap sukan untuk mengingatkan mereka supaya sentiasa bersedia dengan cabaran dihadapi khususnya daripada Singapura.
“Sambutan rakyat mereka cukup hebat. Jangan biarkan situasi mengawal kita sebaliknya biar kita yang kawal situasi. Saya yakin atlet kita sudah bersedia untuk memberikan aksi mereka yang terbaik.
“Saya berharap banyak lagi kejayaan yang akan menyusul selepas kejayaan Katrina dan Zylane ini,” katanya.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment