Penembak wanita negara Muslifah Zulkifli terpaksa menahan kesakitan belakang ketika beraksi dalam acara 10m air rifle berpasukan dan ternyata pengorbanan itu tidak sia-sia apabila membantu menyumbang perak di Lapang Sasar Menembak Safra Yishun semalam.
Biarpun kecewa kerana bidikannya hanya mampu mengutip 401.2 mata berbanding dua lagi rakan sepasukan Nur Suryani Mohamed Taibi (410.9 mata) dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim (410.8 mata), dia mengakui sudah melakukan terbaik untuk membantu pasukan mengumpul mata keseluruhan 1222.9.
“Papan sasaran di sini agak tinggi berbanding di Lapang Sasar Menembak Subang, jadi agak menyukarkan saya kerana badan saya tidak dapat menahan tekanan ketika melakukan tembakan.
“Saya mengalami sakit belakang sejak dua tahun lalu jadi memang ada rasa sakit lagi ketika saya beraksi tadi dan saya sepatutnya tidak menembak dalam acara ini, hanya menggantikan Shaheera (Rahim Raja) yang mengandung,” katanya.
Muslifah tidak layak beraksi di final 10m air rifle individu yang menyaksikan Ayuni meraih gangsa menerusi peraturan diplomatik Sukan SEA berikutan tiga penembak teratas dikuasai wakil tuan rumah Singapura.
Penembak 25 tahun negara itu mengutip 160.7 mata di tangga keempat mengambil pingat Martina Lindsay Veloso yang menduduki tangga ketiga dengan 184.0 mata.
Emas diraih Tessa Neo dengan 207.0 mata selepas mengejutkan rakan senegaranya Jasmine Ser (204.9 mata).
“Kami fokus kepada acara berpasukan saja jadi gangsa ini saya anggap sebagai bonus. Sebenarnya saya boleh mencatat mata lebih baik namun ada melakukan beberapa kesilapan,” kata Ayuni.
Dalam pada itu harapan untuk melihat penembak lelaki negara menebus kehampaan itu tidak menjadi kenyataan apabila trio Muhammad Zubair Mohammad, Muhammad Ezuan Nasir Khan dan Mohd Hadafi Jaafar turut memenangi perak.
Mereka mengumpul 1826.9 mata, ketinggalan 17.1 mata di belakang penembak Singapura yang meraih emas manakala Vietnam gangsa dengan 1818.1 mata.
Dalam acara individu final selepas itu, Zubair dan Ezuan gagal menyerlah.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment