Tuesday, May 19, 2015

Trio memanah rendah diri





Kuala Lumpur: Kejayaan di Kejohanan Piala Dunia Shanghai minggu lalu belum menjamin pingat emas buat trio memanah compound wanita negara apabila beraksi di Sukan SEA Singapura bulan depan.

Fatin Nurfatehah Mat Salleh tidak mahu meletakkan harapan terlalu tinggi selepas kekecewaan dialami pada temasya di Myanmar dua tahun lalu.
“Bagi saya kemenangan kami di Piala Dunia tempoh hari adalah rezeki. Ia bukan persembahan terbaik dan kalau nak diikutkan rekod dilakukan di final Piala Dunia itu, belum tentu kami boleh menang emas di Sukan SEA.

“Kami menang 220-219 ke atas pasukan Amerika Syarikat dan kalau kami mahu menang di Sukan SEA atau mana-mana kejohanan, sekurang-kurangnya perlu merekod 225 ke atas. Saya dan rakan sepasukan perlu berusaha lebih gigih lagi,” katanya.

Fatin, 24, bersama Nor Rizah Ishak dan Saritha Cham Nong melakar sejarah merangkul pingat emas pertama Piala Dunia dengan dia sendiri muncul pemanah wanita pertama melangkah ke separuh akhir acara individu di siri kejohanan berprestij itu.

Walaupun sudah menakluki dunia, Fatin masih lagi mengimpikan pingat emas pertama Sukan SEA selepas gagal melakukannya di Laos 2009, Indonesia 2011 dan Myanmar 2013.

Hanya pingat perak pencapaian tertinggi berjaya dilakukan di Laos dan Indonesia dalam acara berpasukan dan campuran, manakala di Myanmar pulang dengan tangan kosong.

“Saya tidak mahu meletakkan sasaran tinggi, cukuplah dengan tekad untuk melakukan yang terbaik. Saya tidak mahu apa yang berlaku di Myanmar berulang apabila saya secara tiba-tiba hilang fokus mungkin sebab tertekan.

“Pemanah dari Myanmar, Indonesia dan Filipina sentiasa memberi tentangan hebat dan kami perlu lebih bersedia,” kata Fatin.




Oleh Aziman Rosdi  - Arena, Harian Metro




Oleh Aziman Rosdi


No comments:

Post a Comment