Friday, May 8, 2015

Tiga pemain dinilai sebagai Kapten Malaysia ke Sukan SEA 2015

PETALING JAYA, 7 Mei (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee, akan memilih seorang daripada tiga pemain berpengalaman untuk menerajui pasukan negara pada saingan Sukan SEA 2015 di Singapura, Jun ini.

Mereka ialah pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Mohamad Amer Saidin dan Gary Steven Robbat selain Mohd Fandi Othman yang beraksi dengan pasukan JDT II.

"Saya tidak pasti siapa akan jadi kapten pasukan. Saya perlu berbincang terlebih dahulu dengan pengurus pasukan, Datuk Seri Afandi Hamzah sebelum menentukan siapa kapten dan penolong kapten pasukan ini," katanya ketika ditemui pemberita pada sesi latihan skuad B-23 di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya hari ini.

Dalam pada itu, Kim Swee berkata beliau memberi tempoh sehingga penghujung minggu ini kepada Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PBSI) bagi memberi maklum balas berhubung aksi perlawanan persahabatan 21 Mei ini.

Beliau menjelaskan sekiranya skuad Garuda Muda tidak dapat beraksi, beliau akan memilih pasukan dari Asia Tenggara atau kelab luar negara lain untuk menguji skuad B-23 negara bagi aksi pemanas badan itu.

Skuad muda negara akan terlebih dahulu diuji oleh skuad Liga Perdana Sabah di Kota Kinabalu pada 15 Mei ini.

Kim Swee turut memaklumkan pemain kelab Felda United FC, Muhammad Ferris Danial Mat Nasir dan penyerang skuad B-22 negara, Syahrul Azwari Ibrahim masih dibelenggu kecederaan namun tidak serius.

"Saya amat berharap mereka akan pulih pada minggu hadapan untuk bersama-sama pasukan menjalani latihan seperti biasa," katanya.

Sementara itu, Gary bertekad untuk merebut tempat dalam senarai akhir 20 pemain ke Sukan SEA kali ini setelah terlepas aksi pada edisi 2011 di Indonesia dan edisi 2013 di Myanmar akibat kecederaan.

Pemain kelahiran Kulim, Kedah itu menyasarkan untuk membantu skuad B-23 negara meraih pingat emas pada penampilan sulung dan terakhir kali ini memandangkan beliau tidak layak beraksi pada edisi 2017 yang bakal dihoskan Malaysia kerana sudah mencecah usia 24 tahun.

"Saya lihat saingan merebut 20 tempat terakhir ke Sukan SEA amat sengit sebab ramai pemain yang beraksi kerap dengan pasukan masing-masing dalam Liga Malaysia," kata Gary yang beraksi di posisi tengah.

Malaysia berdepan laluan sukar dalam acara bola sepak Sukan SEA 2015 selepas diundi dalam kumpulan B bersama juara bertahan Thailand selain Vietnam, Laos, Brunei dan Timor Leste.

Skuad muda negara akan membuka kempen menentang Timor Leste pada 30 Mei; Vietnam (2 Jun); Thailand (4 Jun); Brunei (8 Jun) sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan berdepan Laos pada 11 Jun.

Kesemua perlawanan kumpulan B akan berlangsung di Stadium Bishan manakala aksi kumpulan A yang melibatkan tuan rumah Singapura, Indonesia, Myanmar, Filipina dan Kemboja akan berlangsung di Stadium Jalan Besar.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment