Friday, May 22, 2015

Tiga atlet disingkir?



Kuala Lumpur: Tiga atlet tersenarai ke temasya Sukan SEA berdepan kemungkinan tidak dibenarkan beraksi di Singapura seandainya didapati positif menggunakan bahan terlarang.
Jika didapati positif mereka akan terus disingkirkan biarpun berstatus atlet elit atau berpeluang cerah menang pingat.

Ketua Unit Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS), Nishel Kumar berkata, keputusan sama ada tiga atlet berkenaan didapati menggunakan bahan terlarang akan diketahui dalam tempoh beberapa hari lagi. 

Katanya, sample air kencing tiga atlet juga sudah dihantar ke makmal di India.
“Setakat ini semua ujian terhadap 90 peratus atlet ke Sukan SEA negatif namun tiga atlet berkenaan berada dalam pemantauan berikutan keputusannya masih belum diserahkan kepada ADAMAS.
“Tujuan ujian doping ini dijalankan bukan untuk mencari kesalahan atlet tapi lebih bertujuan melindungi atlet agar mereka tidak mengambil bahan tidak sepatutnya.

“Sebagai contoh atlet wushu di Sukan Asia, Tai Cheau Xuen. Dia mengambilnya bukan bertujuan menipu untuk meningkatkan prestasi tapi bahan terlarang itu terdapat dalam ubat kurus dan atau makanan tambahan seperti ubatan tradisi. Jadi golongan sebeginilah yang ingin dibantu ADAMAS agar kes Sukan Asia yang lalu tidak berulang.

“Kebanyakan kes pengambilan bahan terlarang ini membabitkan atlet wanita dengan kebanyakan mereka didapati membeli ubatan dari luar.

“Sekiranya ada bahan diragui, ADAMAS akan menasihati agar mereka tidak meneruskan pengambilannya,” katanya.

Jelasnya, bahan terlarang itu begitu mudah didapati dan boleh dibeli menerusi laman sosial Facebook.
Tahun lalu sebanyak 15 kes doping dikesan positif dengan 13 daripadanya dikendalikan ADAMAS manakali dua lagi kes membabitkan Cheau Xuen dan Datuk Lee Chong Wei.



Oleh Aida Adilah Mat- Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment