Wednesday, May 27, 2015

Skuad B-23 perlu catat kemenangan bertemu Timor Leste, Sabtu Ini


PETALING JAYA, 27 Mei (Bernama) -- Skuad bola sepak negara, kendalian Datuk Ong Kim Swee, yang akan bertemu Timor Leste dalam perlawanan pertama Sabtu ini perlu mendapatkan kemenangan selesa bagi menyemarakkan semangat kontinjen negara Sukan SEA di Singapura nanti.

Ketua Kontinjen bagi Sukan SEA Singapura, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata beliau berharap pasukan bola sepak bawah 23 tahun itu akan memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Bishan.

"Skuad bola sepak ini merupakan pasukan pertama akan berlepas ke Singapura. Tidak timbul isu penat walaupun mereka menaiki bas kerana perjalanan mereka telah dirancang dengan baik," katanya selepas menyerahkan Jalur Gemilang kepada skuad bola sepak negara bawah 23 tahun di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini Rabu.

Skuad negara itu merupakan pasukan pertama kontinjen negara ke Singapura dengan menaiki bas.

Malaysia berdepan laluan sukar selepas diundi dalam Kumpulan B bersama juara bertahan Thailand, Vietnam, Laos, Brunei dan Timor Leste.

Skuad muda negara akan membuka kempen menentang Timor Leste pada 30 Mei; Vietnam (2 Jun); Thailand (4 Jun); Brunei (8 Jun) sebelum menamatkan aksi peringkat kumpulan berdepan Laos pada 11 Jun.

Kesemua perlawanan Kumpulan B berlangsung di Stadium Bishan manakala aksi Kumpulan A yang melibatkan tuan rumah Singapura, Indonesia, Myanmar, Filipina dan Kemboja di Stadium Jalan Besar.

Sementara itu, Kim Swee berkata pasukan itu perlu merealisasikan misi utama meraih pingat emas pada temasya dwitahunan itu dan memberikan tumpuan dalam perlawanan peringkat kumpulan terlebih dahulu serta tidak memandang rendah pasukan seperti Laos, Timor Leste dan Brunei.

"Vietnam dan Thailand adalah pencabar utama. Tetapi kita tidak boleh memandang rendah pasukan Timor Leste, Brunei dan Laos," katanya.

Kim Swee berharap pemainnya tidak mengalami kecederaan serius kerana ia akan mengganggu strategi yang dirancang.

Katanya pada Sukan SEA yang lepas, pemain pasukan negara mengalami banyak kecederaan sehingga beliau perlu menukar pemain dan strategi.

Malaysia pernah meraih pingat emas pada tahun 2009 di Laos dan 2011 di Jakarta.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment