Thursday, May 28, 2015

Olahraga: Peluang emas cerah







Kuala Lumpur: Sukan SEA Singapura mungkin boleh menghadiahkan berita gembira buat skuad olahraga negara apabila ratu pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli dilihat mampu menamatkan kemarau pingat emas acara 100 meter apabila mendahului ranking pertama Asia Tenggara.

Catatan dilakar Husniah di Terbuka Perak minggu lalu mungkin boleh menjanjikan emas buat negara namun atlet kelahiran Pulau Pinang itu tidak mahu mendabik dada kerana Singapura adalah penyertaan pertamanya dalam acara 100m di Sukan SEA.

Catatan 11.53 saat Husniah bagaimanapun gagal memperbaharui rekod kebangsaan milik legenda negara G Shanty, 11.50s yang dilakukan pada 1993.

Catatan itu memperbaiki rekod peribadi Husniah, 11.62s yang dilakukan di Sukan Universiti ASEAN Palembang tahun lalu.

Bagi Husniah dia tetap mempunyai sasaran peribadi namun tidak mahu meletakkan harapan tinggi kerana 100m acara riben biru yang sentiasa menjadi tumpuan.

“Setiap individu pasti mahukan yang terbaik dan begitu juga saya. Saya cuma harap dapat melakukan yang terbaik untuk membuatkan negara bangga dan jika menang, ia bonus buat saya.

“Ketika ini saya hanya mahu fokus terhadap latihan dan tidak mahu memikirkan mengenai tekanan. Jika boleh saya mahu mengawal keadaan dan menikmati perlumbaan berbanding terlalu memikirkan pingat,” katanya.

Husniah berpeluang cerah menyumbang emas 100m yang kali terakhir disumbangkan Shanty pada temasya di Jakarta 1997.

Mengulas mengenai cabaran, Husniah berkata, saingan memang sengit tapi peluang lebih terbuka dengan ketiadaan juara bertahan dari Vietnam Vu Thi Huong, manakala catatan pelari dari Thailand dan Filipina tidak jauh beza.

Husniah dijangka menerima saingan daripada jaguh pecut Thailand, Tassaporn Wannakit dan Princess Joy Griffey (Filipina).

Tassaporn mempunyai catatan terbaik 11.61s manakala Husniah dan Princess 11.62s.





Oleh Aida Adilah Mat- Arena, Harian Metro

No comments:

Post a Comment