Monday, May 11, 2015

Kontinjen Sukan SEA M'sia guna laluan khas di Tuas ke Singapura

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Bernama) -- Kontinjen Sukan SEA Malaysia akan menggunakan laluan khas di Tuas, Johor sebelum memasuki Singapura bagi menyertai temasya dwitahunan itu yang akan berlangsung dari 5 hingga 16 Jun ini.

Ketua kontinjen negara Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata kontinjen negara akan melalui laluan khas di pusat pemeriksaan Tuas bagi melancarkan proses kemasukan atlet khususnya membawa peralatan senjata yang digunakan oleh atlet menembak, wushu dan memanah.

"Penganjur akan mengenakan prosedur ketat terhadap setiap kelengkapan yang kita bawa. Kita akan menyenaraikan semua kelengkapan peralatan sukan kepada pihak berkuasa Singapura.

"Bagi pihak Imigresen Malaysia, kita juga telah berbincang dan mereka akan membantu memudahkan laluan kita di sana. Proses pemeriksaan akan mengambil masa," katanya kepada pemberita di Institut Sukan Negara (ISN) di sini, hari ini.

Terdahulu, Norza mengadakan perjumpaan dengan atlet dari tujuh sukan yang akan menyertai Sukan SEA iaitu dalam acara renang, terjun, floor ball, lawan pedang, skuasy, petanque dan polo air.

Norza turut mengingatkan kesemua 932 atlet dan pegawai supaya menjaga disiplin kerana pihak penganjur tidak menyediakan perkampungan sukan pada temasya sukan itu.

"Tiada perkampungan sukan di Singapura, semua atlet mendapat layanan kelas pertama jadi mereka juga perlu menunjukkan mentaliti kelas pertama. Pengurus setiap sukan perlu memantau serta mengetahui pergerakan atlet masing-masing.

"Kita tidak mahu atlet negara didenda kerana merosakkan harta benda awam negara berkenaan kerana setiap atlet akan dikenakan denda jika melakukan kerosakan atau melanggar peraturan," katanya.

Kesemua atlet akan menginap di hotel bertaraf lima bintang sekitar bandar raya Singapura. Setiap atlet dikenakan bayaran USD50 (RM180) sehari sepanjang berada di negara berkenaan.

Mengulas mengenai sasaran kontinjen negara pada Sukan SEA 2015, Norza berkata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin akan mengumumkan sasaran pingat emas negara pada temasya itu dalam tempoh terdekat.

"Sebelum ini kita meletakkan sasaran pingat emas 50 peratus daripada acara yang disertai atlet negara. Kami sedang berbincang mengenai perkara itu," katanya.

Malaysia akan menyertai 35 dari 36 acara yang dipertandingkan pada temasya dwitahunan itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment