Kuala
Lumpur: Jadual perlawanan bola sepak Sukan SEA yang bertembung dengan kelayakan
Piala Dunia 2018 dan kelayakan Piala Asia 2019 Jun ini mungkin memberi sedikit
kelebihan kepada jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23) Datuk Ong Kim
Swee (gambar kiri).
Ketika
pengendali negara itu sudah boleh memberikan fokus kepada persiapan pasukan,
dua rakan sejawatnya yang bakal menjadi pencabar utama Kumpulan B Kiatisuk
Senamuang dari Thailand dan Toshiya Miura (Vietnam) pula pening memikirkan
kejohanan yang menjadi keutamaan mereka.
Kiatisuk
dan Miura menggalas dua tugas serentak iaitu mengendalikan skuad B-23 dan skuad
kebangsaan masing-masing. Bagaimanapun dengan jadual Sukan SEA dan pusingan
kelayakan itu bertembung kemungkinan salah satu tugas itu terpaksa dilepaskan.
Thailand
dan Myanmar yang memiliki ramai pemain muda yang bagus ketika muncul juara
Piala AFF dan melepasi kelayakan AFC B-23 kemungkinan akan bersama skuad
kebangsaan bagi menghadapi perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia 2018 dan
kelayakan Piala Asia 2019 11 Jun ini.
“Bukan
mudah untuk sesuatu pasukan menukar jurulatih pada saat-saat akhir tapi itu
masalah mereka, saya lebih suka untuk beri fokus kepada persiapan pasukan saya
sendiri.
“Bagi saya
ia tidak memberi banyak kelebihan kepada Malaysia kerana Thailand dan Myanmar
mempunyai ramai pemain muda yang bagus.
“Walaupun
ada pemain muda mereka tidak dapat beraksi di Sukan SEA kerana bersama skuad
kebangsaan, saya percaya ia tidak menjejaskan kekuatan mereka dan kami tetap
perlu berhati-hati,” katanya.
Pada
Sukan SEA Singapura, Malaysia diundi dalam kumpulan maut bersama juara bertahan
Thailand, Vietnam, Laos, Brunei dan Timor Leste manakala Kumpulan B menyaksikan
tuan rumah Singapura bakal bersaing dengan Indonesia, Myanmar, Kemboja dan
Filipina.
Kim Swee
yang diberikan tugas besar untuk merampas pingat emas yang dimenangi pada Sukan
SEA Jakarta 2011 bakal memanggil 30 pemain bagi sesi latihan pusat terakhir
pada 3 Mei depan sebelum memilih 20 pemain terbaik ke Singapura.
Arena - Harian Metro
No comments:
Post a Comment