Thursday, November 21, 2013

40 emas realistik, dapat 50 cemerlang - MOM

KUALA LUMPUR - Perbezaan sasaran pingat emas Sukan SEA 2013 Myanmar antara Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Kontinjen, Datuk Wira Amiruddin Embi bukan isu besar, sebaliknya Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melihat perkara ini dari perspektif yang berbeza.

Setiausaha Kehormat MOM, Datuk Sieh Kok Chi berkata, kedua-duanya sasaran itu sesuatu yang bagus untuk negara tetapi 40 emas adalah dilihat lebih realistik.

"Sepuluh peratus daripada 400 lebih pingat emas yang ditawarkan di Sukan SEA Myanmar 2013 adalah realistik. Kita pernah meraih 24 peratus di luar Kuala Lumpur iaitu di Sukan SEA Brunei 1999, jadi saya rasa 40 pingat emas adalah sasaran yang adil manakala 50 pingat emas pula adalah sasaran yang cemerlang," katanya kepada media di sini, semalam.

Jelasnya, sekarang ini semua atlet daripada sebanyak 30 acara yang akan disertai sudah disahkan kecuali hoki lelaki kerana mereka dijangka membuat pertukaran dengan memanggil beberapa pemain senior selepas pemain remaja yang akan ke Sukan SEA sebahagian daripadanya beraksi di Piala Dunia Remaja 2013 New Delhi.

"Seramai 10 atau lapan pemain senior yang akan pulang dari Korea Selatan akan menyertai skuad Sukan SEA, cuma kita tidak tahu siapa pemain yang cedera tetapi jumlah kontinjen tetap 18 orang seperti mana yang ditetapkan. Begitu juga dengan jumlah kontinjen keseluruhan 833 atlet dan pegawai.

"Mengenai perkembangan lain, setakat ini tidak ada apa-apa yang berbangkit termasuk isu keselamatan. Mereka (tuan rumah) cakap sudah selesai tetapi pandangan saya jika ada isu keselamatan mereka tidak akan mensasarkan atlet, sebaliknya kerajaan yang memerintah dan ia mesti datang daripada pihak pembangkang negara tersebut," katanya.

Ditanya sama ada terdapat pegawai keselamatan akan mengiringi kontinjen negara, Kok Chi mengesahkannya.
Minggu lalu, Khairy mengumumkan sasaran sebanyak 40 pingat emas pada Sukan SEA 2017 Myanmar yang akan membuka tirai 11-12 Disember ini.

Menurut Khairy, berdasarkan penilaian Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) serta persatuan sukan, sasaran tersebut adalah paling realistik untuk kontinjen negara.

Mengikut pecahan secara spesifik, tiga daripada acara renang, lapan terjun, satu basikal lebuh raya, satu bola sepak, dua hoki, enam karate, satu menembak, satu muaythai, lima olahraga, dua pelayaran, masing-masing tiga pencak silat dan wushu.

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment