Tuesday, December 1, 2009

Zolkples kecewa sikap persatuan


HASRAT Majlis Sukan Negara (MSN) menyatukan semua atlit di sebuah kem untuk menyesuaikan diri dengan perkampungan Sukan Sea, tidak kesampaian ekoran tindakan beberapa persatuan yang tidak menghiraukan arahan berkenaan dan membuat program sendiri.


Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, berkata beliau kecewa kerana tujuan kem itu adalah untuk meningkatkan semangat patriotik dan kebersamaan di kalangan atlit dalam usaha memburu pingat emas.

“Sebelum ini, kami mengadakan kem latihan pusat tetapi beberapa persatuan membantah kerana tempoh kem terlalu lama. Jadi kami mengadakan perhimpunan kontinjen ini, beberapa hari sebelum Sukan Sea, sebagai persiapan terakhir.



“Bagaimanapun, saya kecewa kerana ada persatuan yang tidak mengendahkan perkara ini, sebaliknya mengadakan program mereka sendiri.

“Kalau di sini sudah tidak menunjukkan sikap tidak mahu bersama, bagaimana pula apabila tiba di Laos nanti,” katanya ketika melancarkan program Perhimpunan Kontinjen Sukan Sea XXV di Putrajaya, semalam.

Malaysia akan menghantar kontinjen seramai 469 iaitu 348 atlit dan 121 pegawai dan hanya 180 atlit saja yang mendaftar menyertai kem kontinjen ini.

Difahamkan skuad taekwondo dan angkat berat tidak dapat hadir dalam kem itu kerana tidak mendapat tiket penerbangan pulang manakala bola sepak berangkat ke Laos, hari ini.

Namun pasukan sepak takraw bertindak mengadakan program sendiri dengan mengatur perlawanan dengan skuad takraw Yala di Pulau Pinang hari ini dan esok, manakala judo meneruskan latihan mereka di Sekolah Sukan Bandar Penawar.

Sementara itu, Zolkples berkata, walaupun sasaran yang ditetapkan adalah antara 30 dan 35 pingat emas, kontinjen negara tetap dengan matlamat untuk memastikan negara kekal berada di tempat kedua keseluruhan.

Beliau turut mengharapkan pasukan bola sepak negara mampu mara ke final dan berharap pasukan Malaysia masih berada di Laos pada 5 Disember nanti sewaktu beliau tiba di Vientiane.

BHARIAN

No comments:

Post a Comment