Wednesday, November 11, 2009

Trio negara cerah bidik emas Laos


bhsukan@bharian.com.my

HARAPAN negara untuk meraih pingat emas dalam acara menembak di Sukan Sea 2009 tampak cerah berpandu kepada prestasi ditunjukkan pada Kejohanan Menembak Seasa yang berakhir di Bangkok, kelmarin.

Dalam kejohanan disertai penembak negara yang bakal beraksi di Laos, Disember ini, skuad penembak negara membawa pulang satu emas, dua perak dan 12 gangsa.

Emas diperoleh menerusi trio menembak pistol negara - Bibiana Ng Pei Chin, Joseline Cheah Lee Yean dan Siti Nur Mashita Mohd Badrin dalam acara 25 meter sport pistol dengan catatan 1,714 mata.


Ketiga penembak harapan negara ini yang kembali beraksi selepas dua tahun digantung kerana menggunakan dadah dilarang melepaskan geram dengan mengetepikan cabaran penembak Vietnam dan Thailand.

“Berdasar kepada catatan itu mereka dijangka mampu menyumbang emas untuk negara dan kita harap mereka dapat mengekalkan kedudukan itu hingga di Sukan Sea nanti,” kata Setiausaha Eksekutif Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM), Mejar (B) Jasni Shaari, semalam.

Katanya, mereka juga mampu meraih emas dalam acara berpasukan 10 meter air pistol dengan berada di kedudukan tempat kedua dalam kejohanan ini di belakang Taiwan yang tidak terbabit di Laos nanti.

Sementara itu Bibiana berkata, selain mengekalkan tahap pencapaian pada Sukan Sea mereka juga mahu meningkatkan lagi keupayaan menjelang Kejohanan Menembak Kebangsaan di Lapang Sasar Subang bermula, esok.

“Dalam masa tidak sampai sebulan ini saya dan rakan-rakan akan berusaha lebih gigih untuk memastikan ada peningkatan dalam catatan dalam kedua-dua acara yang kami sertai,” katanya.

Di Sukan Sea Laos ketiga penembak negara yang disandarkan untuk meraih sekurang-kurangnya dua daripada empat emas yang di sasarkan oleh NSAM akan menyertai acara 25m sport pistol dan 10m air pistol.

No comments:

Post a Comment