SEPERTI biasa, skuad penerjun negara sentiasa diberi perhatian sebagai antara sukan penyumbang emas Sukan Sea.
Usaha mengulangi kejayaan seperti di Korat dua tahun lalu terus menjadi taruhan, lantaran itu, pemilihan China sebagai lokasi menjalani latihan dilihat sebagai platform terbaik bagi mengekalkan status sebagai sukan paling mencuri tumpuan.
Ketika ini, kebanyakan penerjun yang bakal bertanding ke Laos berada di negara itu sejak bulan lalu dan mereka dijangka pulang ke tanah air hujung bulan ini.
Pemilihan China oleh Kesatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) boleh disifatkan ‘pengeras’ kerana negara itu lubuk melahirkan ramai penerjun bertaraf dunia.
Jika dilihat dari sudut pencapaian, sejak menjadikan China lokasi latihan, prestasi penerjun negara sentiasa meningkat dan tidak hairanlah apabila dua penerjun negara, Leong Mung Yee dan Pandelela Rinong mencipta sejarah meraih pingat gangsa pertama ketika Kejohanan Dunia di Rome, Itali beberapa bulan lalu.
|
Kewajaran Asum meletakkan sasaran lima emas di Laos dilihat tepat dengan mengambil kira beberapa faktor termasuk ketiadaan beberapa penerjun yang mengumumkan persaraan.
Pun begitu, penyertaan kali ini menarik perhatian dengan kehadiran penerjun Olimpik, Bryan Lomas yang bakal menyertai acara 3m papan anjal individu.
Jika sebelum ini, acara itu disertai Rossharisham Roslan tapi, dia sekadar menyertai satu acara iaitu 3m papan anjal serentak, digandingkan bersama Yeoh Ken Nee.
Selain itu, pemenang gangsa di Kejohanan Dunia, Mun Yee/Pandelela miliki peluang cerah mengulangi kejayaan dalam acara 10m platform terjun serentak wanita.
Pandelela diberi tugas getir kali ini khususnya dalam acara 3m papan anjal serentak wanita selepas ketiadaan Elizabeth Jimie yang bersara April lalu.
Beberapa acara yang menyumbang emas di Korat menyaksikan berlaku pertukaran penerjun dan keadaan ini dilihat sebagai ‘percubaan’ untuk penerjun baru mempertahankan emas dimenangi negara.
Malah tidak ketinggalan dengan skuad terjun terpaksa berputih mata selepas dua acara yang menyumbang emas - 1m papan anjal lelaki dan wanita - digugurkan.
Ken Nee menyumbang emas bagi acara lelaki sementara Mu Yee, bagi wanita - ketika itu, skuad terjun negara meraih tujuh emas keseluruhan - tersenarai sebagai sukan ketiga terbaik. HMETRO
No comments:
Post a Comment