Wednesday, November 25, 2009

Petanque bersemangat walau berlatih dalam negara


ATLET paling senior dalam skuad pentanque, Normadiah Abdullah (tiga dari kiri) beramah mesra dengan rakan sepasukan selepas menjalani latihan persiapan Sukan SEA Laos di Kompleks Majlis Sukan Negara, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR - Walaupun lebih separuh daripada kontinjen negara bertanding atas kategori B dan hanya membuat penampilan pertama, namun petanque tetap menyasarkan dua pingat untuk dibawa pulang pada sukan SEA Laos, bulan depan.

Persekutuan Petanque Malaysia (PPM) semalam menyenaraikan 27 atlet ke temasya 9-18 Disember itu, 14 daripadanya adalah muka baru yang ditanggung sendiri oleh persatuan.

Malah, persiapan mereka juga tidak semewah kebanyakan sukan lain yang berpeluang beraksi dan berlatih di luar negara.

Petanque, sebaliknya sekadar mengambil bahagian dalam satu kejohanan antarabangsa sepanjang tahun ini, dan selebihnya hanya berlatih dan bertanding dalam negara.

"Saya boleh katakan, barisan atlet yang kita ada sekarang adalah yang terbaik sejak Malaysia menyertai acara petanque pada Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur tetapi dari segi persediaan, nasib kita tidaklah sebaik sukan-sukan lain.

"Kami cuma menyertai satu kejohanan antarabangsa sepanjang 2009 iaitu Sukan Dalam Dewan Asia di Vietnam pada awal bulan ini, dan itu bukan berita baik buat atlet negara.

"Kalau dilihat persiapan kami, memang banyak kekurangan kalau hendak dibandingkan dengan kuasa petanque Asia Tenggara lain seperti Thailand, Vietnam, Laos atau Kemboja tetapi kami tidak akan menjadikan ia alasan untuk menyerah kalah,'' tegas ketua jurulatih kebangsaan, Zulkifli Salim.

Menurut Zulkifli, sekalipun beraksi dengan serba kekurangan, namun atlet negara tetap memasang sasaran untuk membawa pulang sekurang-kurangnya dua pingat perak.

Ujarnya, adalah lebih manis sekiranya kilauan pingat itu dapat ditukar kepada emas tetapi beliau lebih senang bersikap realistik, selain tidak mahu memberi tekanan kepada atlet.

Ketika ditanya apakah relevannya PPM menghantar 14 atlet daripada kategori B, Zulkifli berkata, setiap peserta hanya dibenarkan untuk bertanding dalam satu acara, justeru jika mahu menyertai semua 11 acara, ia memerlukan kontinjen yang lebih besar.

Katanya lagi, daripada 11 acara yang disertai, lima daripadanya diletakkan sebagai prospek, termasuk acara perseorangan lelaki.

Pencapaian terbaik Malaysia pada Sukan SEA adalah membawa pulang satu perak pada Temasya Kuala Lumpur 2001 dan Manila 2005.

Bagaimanapun di Temasya Korat dua tahun lalu, pasukan negara sekadar membawa pulang tiga gangsa, begitu juga di Vietnam 2003.

Mohd. Firdaus Adli Bakri merupakan antara pertaruhan terbaik Malaysia selepas memenangi perak pada Sukan SEA 2005, malah tumpuan juga diberikan kepada Mohd. Syafiq Abdul Razak yang membawa pulang gangsa di Sukan Dalam Dewan Asia.

"Saya tidak mahu sebut secara spesifik atlet yang disasarkan pingat tetapi apa yang boleh saya katakan, kami meletakkan harapan besar dalam acara lelaki berbanding wanita,'' ujarnya. UTUSAN

No comments:

Post a Comment