Friday, November 6, 2009

KOAM tapis lagi senarai atlet ke Laos


KUALA LUMPUR - Jumlah kontinjen olahraga negara ke Sukan SEA Laos, bulan depan bakal mengecil daripada senarai asal 45 atlet sebaik tamat tiga kejohanan - Trek dan Padang Asia (ATF), Terbuka Perak serta Terbuka Singapura.

Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Karim Ibrahim berkata, badan olahraga itu hanya akan membawa atlet terbaik ke Laos dengan tiga kriteria menjadi garis panduan.

Kriteria pertama yang akan dijadikan ukuran adalah prestasi semasa atlet, diikuti kedudukan mereka di kalangan atlet serantau, selain tahap kesihatan mereka.

Menurut Karim lagi, KOAM juga tidak teragak-agak untuk menggugurkan atlet yang layak menerusi merit, iaitu lepasi syarat kelayakan yang ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) jika mereka gagal memenuhi kriteria.

"Kita akan adakan tapisan. Bukan bermakna kita hendak buang kategori B tetapi kalau prestasi mereka teruk sangat kita tidak boleh benarkan mereka pergi.

"Walaupun atlet ini layak menerusi merit tetapi kalau mereka tidak menunjukkan prestasi semasa yang meyakinkan, tidak tunjuk prospek boleh bawa pulang pingat atau ada masalah kesihatan, kita tidak teragak-agak menggugurkan mereka.

"Kami hanya membawa yang terbaik kerana KOAM tidak mahu dicop sebagai persatuan yang suka bawa ramai atlet tetapi beri sumbangan yang kecil,'' tegas Karim.

Kata Karim, pengurangan atlet akan dilakukan secara berperingkat, malah ia sudah bermula dari kelmarin, apabila enam digugurkan sebaik tamat sesi ujian masa.

Kejohanan ATF yang akan berlangsung di Guangzhou, China dari 10-14 November ini menjadi medan pertama untuk menguji atlet negara, di mana 23 atlet dari skuad Sukan SEA akan bertanding.

Mereka kemudiannya diuji pada Terbuka Perak dari 21-22 November, diikuti Terbuka Singapura yang berlangsung pada 29 November.

Kontinjen olahraga meletakkan sasaran lapan pingat emas pada Temasya 9-18 Disember itu dengan sebahagian besar emas disasar menerusi atlet senior.

Daripada jumlah berkenaan, empat disasarkan daripada atlet wanita iaitu menerusi Noraseela Khalid (400m, 400m lari berpagar), Roslinda Samsu (lompat bergalah) dan Tan Soon Wah (baling tukul besi).

Empat lagi menerusi Lee Hup Wei (lompat tinggi), Teoh Boon Lim (jalan kaki), Mohd. Rayzam Shah Wan Sofian/Mohd. Robani Hassan (110m lari berpagar) dan kuartet lari berganti-ganti 4x400m.

Sementara itu KOAM turut mengumumkan jurulatih senior negara, Harun Rasheed sebagai ketua jurulatih skuad Sukan SEA, manakala Timbalan Presiden Persatuan Olahraga Amatur Wilayah Persekutuan (POAWP), A. Subramaniam sebagai pengurus pasukan.

No comments:

Post a Comment