Tuesday, November 17, 2009

Golf letak sasaran terendah pingat perak


KUALA LUMPUR - Bukan lagi pingat gangsa tetapi perak, malah, mungkin lebih baik daripada itu. Ini merupakan sasaran terbaru Persatuan Golf Malaysia (MGA) di Sukan SEA Laos, Disember ini.

Presidennya, Datuk Robin Loh berkata, sasaran baru itu itu dibuat berdasarkan prestasi semasa pemain negara.

Katanya, sasaran kilauan pingat baru yang lebih baik di kejohanan tersebut adalah realistik dan ia selari dengan persembahan baik pemain negara ketika ini.

"MGA telah pun memutuskan senarai nama pemain lelaki dan wanita bagi kejohanan Sukan SEA Laos, Disember ini.

"Pemain golf negara, Mohammad Iszaimi Ismail adalah pemain berpotensi besar untuk menyumbangkan pingat perak dan mungkin mampu meraih emas.

"Namun, MGA masih tidak mahu meletakkan sasaran yang terlalu tinggi. Meskipun begitu, saya percaya dia mampu melakukannya," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini semalam.

Beliau sebelum itu mengadakan sidang akhbar mengenai Kejohanan Golf Terbuka Malaysia Maybank 2010 yang dijadualkan berlangsung pada 4 hingga 7 Mac tahun depan.

Tujuh pemain golf negara bakal beraksi di Laos, Disember ini.

Pemain lelaki yang terpilih ialah Mohammad Iszaimi, Gavin Kyle Green, Nicholas Fung Chee Yung dan Mohamad Iylia Jamil Mohd. Jamil.

Cabaran wanita negara pula dipikul oleh Michelle Koh, Ainiljohani Abu Bakar dan Kelly Tan.

Mengulas lanjut, Loh berkata, selain mempamerkan aksi yang memberangsangkan dari semasa ke semasa, kedudukan Mohammad Iszaimi di tangga ketujuh peringkat Asia Pasifik adalah bukti kukuh untuk menyokong sasaran baru MGA tersebut.

Selain itu, katanya, jika Mohammad Iszaimi mampu menghasilkan persembahan bertenaga pada hari pertandingan, dia boleh memperoleh keputusan lebih baik.

Jelasnya, sukan golf tidak selalunya bergantung kepada pencapaian semasa, sebaliknya nasib dan prestasi sempurna pada hari pertandingan adalah penentu kepada kejayaan.

"Pemain golf negara mungkin menerima tentangan pemain Thailand dan Filipina di Sukan SEA Laos nanti.

"Namun, saya percaya dengan kemampuan pemain negara untuk melalukan yang terbaik," katanya.- UTUSAN

No comments:

Post a Comment