Thursday, November 26, 2009

Chong Wei akan beri terbaik di Laos




Dr. Ramlan Aziz (kanan) berbincang dengan pemain-pemain badminton negara semasa meninjau latihan mereka di Bukit Kiara, semalam.

KUALA LUMPUR - Ketika ada pihak mula mempersoalkan sejauh mana komitmen Datuk Lee Chong Wei apabila beraksi pada Sukan SEA bulan depan, jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek tidak mahu perkara itu dijadikan isu.

Ada yang menganggap pemain No. 1 dunia itu beraksi di Laos dalam keadaan terpaksa selepas hajat untuk berehat tidak mendapat restu Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Tegas Misbun, Chong Wei bukan jenis pemain yang mengambil mudah apa saja kejohanan yang disertai, tidak kira ia besar atau kecil, apatah lagi temasya yang melibatkan maruah negara seperti Sukan SEA.

Malah, jelas beliau, pemain itu juga sebenarnya tidak berniat hendak menarik diri, cuma dia meluahkan keletihan dalam bentuk yang mungkin disalah tafsir.

"Chong Wei akan memberikan yang terbaik pada Sukan SEA kerana dia sedar akan komitmennya terhadap negara selain menjaga statusnya sendiri sebagai pemain No. 1 dunia.

"Dia sedar untuk menjadi pemain yang unggul, dia kena berada di depan pemain-pemain lain, baik dalam Siri Super Masters Akhir mahu pun Sukan SEA. Saya tidak meragui komitmennya apabila dia berada di atas gelanggang,'' kata Misbun pada sesi latihan di Stadium Juara Bukit Kiara, semalam.

Bagaimanapun, tegas Misbun, dia tidak setuju dengan tanggapan bahawa pingat emas sudahpun berada dalam genggaman dengan adanya Chong Wei di Laos.

Katanya, cabaran Sukan SEA walaupun tanpa penampilan jaguh dunia dari China atau Eropah tetapi masih disertai barisan jaguh Indonesia seperti Sony Dwi Kuncoro dan Simon Santoso.

Malah, pemain Thailand, Boonsak Posana dan jaguh Vietnam, Nguyen Tien Minh juga mampu memberikan cabaran yang tidak diduga.

"Jangan lupa Chong Wei pernah kalah kepada semua pemain-pemain ini, jadi anda tidak boleh kata laluannya mudah.

"Bagaimanapun dia akan berjuang dan memberikan yang terbaik untuk cuba memenangi semua perlawanannya dan menyumbang pingat emas seperti yang diharapkan oleh negara,'' ujar Misbun.

Menurut Misbun lagi, Chong Wei juga akan berusaha memberikan yang terbaik pada kejohanan Siri Super Masters Akhir untuk tidak menghampakan peminat tempatan yang meletakkan harapan tinggi kepadanya.

Malaysia meletakkan sasaran dua emas pada temasya 9-18 Disember itu dengan sandaran utama adalah dalam acara individu.

Walaupun BAM tidak menyatakan secara spesifik acara yang menjadi prospek emas, namun acara beregu dan perseorangan lelaki dilihat sebagai peluang terbaik mereka.

Malah, Malaysia juga memiliki kelebihan dalam beregu wanita menerusi Wong Pei Tty-Chin Eei Hui.

Sementara itu, skuad badminton negara semalam menerima kunjungan Ketua Kontinjen Sukan SEA, Datuk Dr. Ramlan Aziz.

Menurut Dr. Ramlan, beliau gembira dengan persiapan yang ditunjukkan oleh pemain negara, dan gembira dengan khabar bahawa Chong Wei sah akan beraksi di Laos.

"Kehadiran Chong Wei mampu menjadi penyuntik semangat kepada rakan-rakan sepasukan tetapi di masa yang sama, harap dia tidak diberi tekanan yang keterlaluan,'' kata Dr. Ramlan.

Skuad badminton negara akan berlepas ke Laos pada 8 Disember ini dan memulakan saingan berpasukan pada 10-13 Disember, diikuti acara individu dari 15-17 Disember ini. UTUSAN

No comments:

Post a Comment