Wednesday, October 28, 2009

Kita sedia harungi Thailand'

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agung Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Arshad Yahya menyifatkan keputusan Thailand tidak menyertai sepak takraw gelung dalam Sukan SEA Laos, Disember ini sebagai tidak yakin dengan populariti acara yang diciptanya sendiri.

Baginya, soal laluan skuad elit bakal lebih sukar atau sebaliknya untuk menggapai emas temasya ke-25 itu tidak timbul kerana anak buah Haris Abdul Rahman sudah bersedia menghadapi apa sahaja rintangan yang mendatang dalam tiga lagi acara - berpasukan, antara regu dan beregu.

"Saya tertanya-tanya adakah ini satu muslihat Thailand atau seolah-olah mereka sendiri tidak yakin acara gelung mampu menarik minat negara lain menyertainya," katanya kepada Utusan Malaysia sebelum berlepas ke Jepun bagi mengiringi sebuah regu elit mengadakan perlawanan pertunjukan di sana.

Thailand rela tidak menyertai antara regu lelaki pada Kejohanan Dunia Piala Raja Thai Ke-24 di Bangkok, Julai lalu tetapi kesempatan ini masih gagal dimanfaatkan skuad elit negara yang dikecewakan Indonesia pada perlawanan akhir, 2-0.

Bagaimanapun Arshad atau lebih dikenali dengan Pak Chat, membayangkan acara sepak takraw gelung lama kelamaan bakal pupus sekiranya negara penciptanya sendiri sudah tidak berminat untuk bertanding pada sesebuah kejohanan antarabangsa sebesar Sukan SEA.

Kelmarin Persatuan Takraw Thailand (TAT) diberitakan telah membuat keputusan untuk mengorbankan emas gelung yang mampu digenggamnya di Laos, menerusi kiriman pendaftaran penyertaan pasukan kepada Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Myanmar memenangi emas gelung lelaki dan wanita ketika diperkenalkan pada Sukan SEA Filipina 2005 bagi menggantikan acara bulatan tetapi Thailand merampas semula kedua-duanya dalam temasya dwitahunan ke-24 di Korat pada 2007.

Negara Gajah Putih itu juga menyapu bersih keempat-empat pingat emas gelung lelaki dan wanita pada Sukan Dalam Dewan Asia Pertama dan Kedua, masing-masing di Bangkok 2005 dan Macau, dua tahun kemudian.

Acara gelung yang terus dipertandingkan dalam Sukan Dalam Dewan Asia Ketiga di Hanoi dan Ho Chi Minh tahun ini, memerlukan sepasukan lima pemain memasukkan bola ke salah satu daripada tiga gelung berjaring yang digantung setinggi 4.75 meter dari lantai gelanggang.

Bola perlu dimasukkan ke gelung sama ada menggunakan sepakan dalam, sepakan luar, lutut, sepakan sila, silangan belakang, badik sisi, membahu dan tandukan tetapi setiap seorang pemain tidak boleh mengulangi cara yang sama melebihi lima kali.

Lima pemain akan membentuk bulatan dan bergilir-gilir melakukan percubaan ke gelung sambil bergerak mengelilinginya dengan setiap pasukan diberikan tempoh 30 minit untuk menyudahkannya dengan mengutip mata tertinggi.

Malaysia tidak akan mengambil bahagian dalam acara ini di Laos tetapi sebuah pasukan dari Polis Diraja Malaysia diamanahkan untuk mendukung cabaran negara pada Sukan Dalam Dewan Asia Ketiga dari Sabtu ini hingga 8 November walaupun peluang meraih sebutir gangsa pun, agak tipis.

No comments:

Post a Comment