Wednesday, October 28, 2009

Kedudukan Robani, Rayzam belum terjamin


WALAUPUN tidak disenaraikan, Muhd. Faiz Mohammad masih boleh mengisi satu daripada dua slot kelayakan acara 110m Sukan SEA Laos jika berjaya memperbaiki kelayakan di Terbuka Singapura dan Terbuka Perak.


KUALA LUMPUR - 'Tiada pilih kasih'. Itu tegas Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOAM), Karim Ibrahim berhubung pemilihan dua atlet acara 110 meter lari berpagar ke Sukan SEA Laos, Disember ini.

Jelasnya, walaupun KOAM telah menyenaraikan Mohd. Robani Hassan dan Rayzam Shah Wan Sofian ke Laos, peluang untuk seorang lagi pelari, Muhd. Faiz Mohammad masih tetap terbuka.

Tegasnya, walaupun nama Robani dan Rayzam sudah diserahkan kepada penganjur kejohanan yang bermula 9 hingga 19 Disember ini, Karim menjelaskan, bukan bermakna kedua-duanya terjamin bakal ke Laos.

"Memang kita telah menghantar nama Robani dan Rayzam dalam senarai awal yang akan beraksi di Laos dalam acara 110m berpagar.

"Nama mereka disenaraikan atas faktor catatan terbaik masing-masing.

"Namun, ini bukan bermakna tempat mereka sudah terjamin.

"Kita masih memberi peluang kepada Faiz untuk dia membuktikan bahawa dia lebih layak jika dia berjaya mengatasi catatan Robani dan Rayzam.

"Saya tidak pilih kasih terhadap siapa yang layak ke Laos, siapa yang lebih bagus, dia yang akan ke Laos,'' katanya ketika dihubungi semalam.

Pemilihan atlet acara 110m lari berpagar ke Laos mencetuskan persoalan mengenai siapa yang lebih layak selepas berakhir Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia baru-baru ini.

Ini kerana, dua pelari yang disebut-sebut bakal menguasai acara 110m berpagar, Robani dan Rayzam gagal beraksi pada acara akhir akibat kecederaan.

Acara tersebut dimenangi oleh Muhd. Faiz.

Kata Karim, Muhd. Faiz boleh membuktikan bahawa dia layak mengisi satu daripada dua slot kelayakan acara 110m berpagar pada kejohanan Terbuka Singapura dan Terbuka Perak, dalam tempoh terdekat.

"Robani dan Rayzam akan menyertai Kejohanan Olahraga Asia (ATF) bagi memperbaiki catatan selepas mereka tidak berlari pada acara akhir Terbuka Malaysia baru-baru ini,'' katanya.

Jelas Karim lagi, memang diakui dari segi catatan Rayzam merupakan pelari terbaik sebagai pemegang rekod Sukan SEA, namun ia dicatatkan dua tahun lalu.

Robani pula, katanya mempunyai catatan terbaik 13.85 saat tetapi ia dicatatkan tahun lalu.

"Kita tidak mahu ketepikan atlet yang bagus seperti Muhd. Faiz. Dia juara acara 110m berpagar pada Terbuka Malaysia.

"Dia masih ada satu bulan untuk membuktikan dia lebih baik berbanding Robani dan Rayzam,'' katanya.

Walau siapa pun yang bakal terpilih, tegas Karim, dua wakil negara yang akan beraksi dalam acara 110m berpagar berdepan tugas berat.

"Apabila kita menghantar dua pelari dalam acara ini, bermakna kita mengharapkan pingat emas.

"Kita tidak mahu sewenang-wenangnya melepaskan pingat emas dalam acara yang pada tradisinya milik kita pada Sukan SEA,'' katanya.

No comments:

Post a Comment