Friday, September 11, 2009

Sasaran 30-35 emas lebih realistik berbanding 40


KUALA LUMPUR - Majlis Sukan Negara (MSN) tetap berpendirian bahawa 30 hingga 35 pingat emas adalah sasaran yang realistik untuk dibawa pulang dari Sukan SEA Laos, 8-19 Disember ini berbanding 40 emas.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zolkples Embong menegaskan, setiap sasaran yang diletakkan oleh badan sukan negara itu adalah berdasarkan fakta dan bukan dibuat dengan membuta tuli.

Menurut Zolkples, yang akan kembali bertugas pada 28 September ini, penilaian MSN bukan semata-mata berdasarkan prestasi semasa atlet, malah turut mengambil kira peningkatan serantau yang ditunjukkan oleh atlet negara lain.

"Dulu saya pernah cakap bahawa 30 hingga 35 pingat emas adalah sasaran yang realistik, dan saya tetap berpegang kepada kata-kata saya itu.

"Orang memang senang hendak meletakkan sasaran tetapi kita kena melihat fakta dan ambil kira pelbagai faktor, bukan saja prestasi atlet kita tetapi juga juga peningkatan yang ditunjukkan oleh atlet serantau.

"Malah, Sukan SEA juga masih ada tiga bulan untuk berlangsung, dalam tempoh itu banyak benda boleh berlaku. Atlet berpotensi boleh cedera, manakala atlet yang tidak diduga boleh menang tetapi kita kena fikir logik,'' ujar Zolkples, semalam.

Ketika ditanya mengenai sasaran 10 pingat emas yang diletak oleh Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Zolkples percaya, adalah lebih realistik untuk kesatuan itu meletakkan sasaran tujuh hingga lapan emas sahaja.

Katanya lagi, pengalaman temasya-temasya sebelum ini sepatutnya mengajar persatuan dan semua pihak agar tidak menetapkan sasaran keterlaluan, sebaliknya mengukur kemampuan sendiri.

"Dulu di Sukan SEA Korat, KOAM juga letak sasaran tinggi, 10 emas atau lebih tetapi MSN hanya letak tujuh emas dan mereka pulang bersama tujuh emas.

"Ada beberapa acara yang peluangnya 50-50, di mana saingannya amat rapat. Kita mungkin boleh menang dengan kelebihan tidak sampai 1 saat dan boleh kalah juga dengan hanya beberapa saat,'' katanya lagi.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebelum ini yakin negara mampu meningkatkan pungutan pingat kepada 40 emas berbanding antara 30 dan 35 emas yang disasarkan MSN.

No comments:

Post a Comment