Monday, July 27, 2009

KOAM janji 10 emas dari Laos


Oleh Meor Hisham
Zulkifli sham@bharian.com.my

Kami akan hantar atlit berlatih di luar negara termasuk Jerman: Shahidan

SEPULUH emas dijanjikan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) di Sukan Sea Laos, Disember ini dengan presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim tidak menolak kemungkinan tambahan sekurang-kurangnya dua lagi.

Ketika persatuan sukan lain kelihatan masih tercari arah, Shahidan menegaskan betapa pihaknya mempunyai persediaan lebih baik berbanding Sukan Sea 2007, walaupun dibayangi wabak Influenza A H1N1.

"Sepuluh emas ini boleh kita katakan sudah pasti, tetapi kami mempunyai prospek meraih sekurang-kurangnya dua atau empat lagi emas. Persiapan kami kali ini lebih baik berbanding sebelum ini dan kami yakin mampu mencapai misi ini," katanya.

Ditanya sama ada sasaran itu mampu dicapai selepas olahraga hanya menyumbang tujuh emas di Sukan Sea Korat 2007 berbanding 10 sasaran awal, Shahidan berkata, keyakinan itu disandarkan kepada perkembangan atlit yang menjalani latihan ketika ini.

"Bagi memburu sasaran ini, kami merancang untuk menyertai sekurang-kurangnya lima kejohanan iaitu Mini Olimpik, Kejuaraan Kebangsaan, ATF di Guangzhou, Sukan Perpaduan Islam dan Terbuka Singapura.

"Kami juga akan menghantar atlit berlatih di luar negara termasuk Jerman yang ditangguhkan baru-baru ini. Kami akan beritahu MSN (Majlis Sukan Negara), kami tetap akan keluar tanpa mengira wabak H1N1 kerana kami akan ambil langkah pencegahan," katanya.

Antara nama yang disebut Shahidan yang berpeluang cerah meraih emas adalah Rayzamshah Wan Sufian (110m lari berpagar), Roslinda Samsu (lompat bergalah), Noraseela Khalid (400m & 400m berpagar), Yuan Yufang (jalan kaki wanita 20 km) dan Tan Soong Hwa (tukul besi).

Loh Choon Seang (jalan kaki lelaki 20km), Lee Hup Wei (lompat tinggi), Mohd Juraimi Ridzuan (1,500m).

Shahidan berkata, selain itu, kuartet 4X400 negara akan turut mempertahankan emas yang dimenangi di Sukan Sea Korat manakala gandingan 4x400m wanita dan 800m lelaki diramal mampu meraih emas di Laos kelak.

Pada masa sama, bekas Menteri Besar Perlis itu yang juga Presiden Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) berkata, skuad akuatik yang meraih 14 emas di Korat, kali ini mungkin hanya mensasarkan 7 emas, berikutan peningkatan ketara negara Asean lain.

No comments:

Post a Comment