Sunday, June 7, 2015

NAAM bidik lebih tiga emas

Mohamad Yazid Yahya (dua dari kiri) bersama atlet melaungkan Malaysia
Mohamad Yazid Yahya (dua dari kiri) bersama atlet melaungkan Malaysia Boleh dalam majlis penyerahan pakaian kepada skuad memanah negara di Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR – Meskipun meletakkan sasaran tiga emas, namun Presiden Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM), Mohamad Yazid Yahya yakin skuad memanah negara mampu meraih lebih daripada itu ketika mengharungi cabaran di Sukan SEA 2015 Singapura nanti.

Katanya, keyakinan tersebut berdasarkan rekod cemerlang yang diraih skuad negara dalam kejohanan antarabangsa kebelakangan ini selain mereka telah menjalani latihan rapi menjelang temasya dwitahunan kali ke-28 itu.

“Kita ada dua kumpulan iaitu recurve yang baru pulang daripada menjalani latihan di Korea Selatan dan compound yang baru-baru ini melakar sejarah apabila merangkul kejuaraan compound siri Memanah Piala Dunia kali pertama di Shanghai, China.

“Walaupun menang, tetapi mereka tetap mengalami tekanan. Namun atas kerjasama ISN (Institut Sukan Negara) yang berusaha membangunkan kekuatan mental, saya harap mereka mampu mengawal tekanan.

“Kita akan berdepan dengan cabaran kuat Indonesia, Thailand dan Vietnam, tetapi berdasarkan persiapan konsisten yang dilakukan, saya yakin kita mampu mengatasi mereka untuk membawa pulang lebih daripada tiga emas,” katanya dalam majlis penyerahan pakaian kepada atlet pasukan memanah di sini semalam.

Dalam edisi di Myanmar dua tahun lalu, skuad negara memperoleh dua emas menerusi acara recurve individu dan recurve berpasukan.

Skuad negara akan ke Singapura menggunakan bas hari ini sebelum memulakan acara masing-masing Rabu nanti di Padang Kriket Kallang, Singapura.

Dalam masa sama, Mohamad Yazid turut mengucapkan terima kepada Majlis Sukan Negara (MSN) kerana telah menyalurkan bantuan RM50,000 kepada pasukan compound.

“Mereka memberi sumbangan itu bagi menambah baik peralatan-peralatan lama. Bagi saya, itu satu galakan untuk mereka lebih bersemangat di pentas Asia Tenggara,” katanya.

Sumber - UTUSAN

No comments:

Post a Comment