Kem wusyu negara terus suram tanpa kilauan pingat emas selepas pertaruhan terbaik Loh Jack Chang sekadar meraih perak dalam acara taijijian pilihan pedang pada Sukan SEA sekali gus gagal mengulangi kejayaan enam tahun lalu.
Persembahan mengagumkan yang dipamerkan atlet berusia 28 tahun itu masih belum cukup untuk memikat juri yang hanya memberikan 9.69 mata, kurang 0.02 mata dengan pemenang emas dari Filipina, Daniel Parantac.
Atlet wusyu Indonesia, Kurniawan Julius Yoga memenangi gangsa selepas meraih 9.68 mata.
Meskipun kecewa dengan kekalahan tipis itu namun Jack Chang enggan menyalahkan juri pengadilan sambil mengakui persembahannya masih tidak berada pada tahap sempurna.
“Secara peribadi, saya memang kecewa kerana tewas dengan jurang mata yang tipis. Tapi juri sudah melakukan yang terbaik dan saya terima keputusan ini.
“Bagi saya, saya sudah mempamerkan persembahan yang baik dan tidak melakukan kesilapan cuma sedikit kurang sempurna.
“Pencapaian saya yang terbaik ialah menang pingat emas di Laos. Kalau boleh memang saya mahu menang emas tapi pingat perak ini sudah cukup memadai,” katanya selepas tamat saingan semalam.
Jack Chang yang melakar kejayaan dengan meraih gangsa pada Kejohanan Wusyu Taijijian Dunia tahun lalu berharap mampu mengulangi kejayaan Sukan SEA 2009 di Laos apabila turun dalam acara taijiquan wajib dan pilihan hari ini.
Selain kejayaan atlet kelahiran Miri, Sarawak itu, skuad wusyu negara turut meraih pingat perak dan gangsa menerusi Phoon Eyin dan Chean Aggie Ruey Shin bagi acara pilihan pedang wanita.
Seorang lagi wakil negara Chan Li Yu sekadar memenangi gangsa dalam acara pilihan taijiquan.
Sumber: Harian Metro
No comments:
Post a Comment