Sunday, June 7, 2015

Emas tersasar dari tembakan

(Dari kiri) Nur Suryani Mohamed Taibi, Muslifah Zulkifli dan Nur
(Dari kiri) Nur Suryani Mohamed Taibi, Muslifah Zulkifli dan Nur Ayuni Farhana Abdul Halim meraikan kejayaan mereka meraih pingat perak dalam acara 10m air rifle Wanita Sukan SEA ke-28 di Singapura semalam. BERNAMA

SINGAPURA – Hari pertama acara menembak Sukan SEA 2015 berakhir tanpa sebarang emas dibidik oleh skuad negara di Lapang Sasar Menembak SAFRA Yishun apabila sekadar me­raih dua pingat perak dan satu gangsa semalam.

Dua perak itu hadir melalui acara berpasukan 10 meter air rifle lelaki dan perempuan sementara pingat gangsa ‘diplomatik’ diraih melalui Nur Ayuni Farhana Abdul Halim untuk kategori individu 10 meter air rifle wanita.

Nur Ayuni sebenarnya sekadar menamatkan tembakan di tempat keempat, tetapi dihadiahkan pingat gangsa berdasarkan formula diplomatik Sukan SEA setiap negara hanya boleh memenangi dua pingat dalam sesuatu acara setelah Singapura mendominasi tempat pertama hingga ketiga.

Pingat emas 10 meter air rifle wanita dimenangi Tessa Neo, penembak yang baru berusia 17 tahun, manakala rakan senegaranya Jasmine Ser memenangi perak.

Nur Ayuni bagaimanapun berhak untuk berasa bangga apabila membantu pasukan 10 air rifle wanita memenangi gangsa setelah gandingannya bersama Nur Suryani Mohd. Taibi dan Muslifah Zulkifli mengumpul 1222.9 mata, ketinggalan 11 mata di belakang Singapura manakala Thailand memenangi gangsa.

Untuk kategori lelaki, Muhammad Hadafi Jaafar, Muhammad Ezuan Nasir Khan dan Muhamad Zubair Mohammad dikecewakan oleh Thailand yang meraih emas apabila mengumpul 1826.9 mata berbanding lawan mereka, 1844.0 mata namun mereka gagal meraih sebarang pingat untuk acara akhir individu.

Nur Ayuni yang sekadar menduduki tempat keempat boleh menarik nafas lega walaupun gangsa sepatutnya menjadi milik Martina Lindsay Veloso dan dia menganggap pingat itu seperti satu bonus yang tidak dijangka.

“Sebenarnya kami hanya fokus kepada acara berpasukan dan tidak meletakkan sebarang sasaran emas kerana Singapura memang handal dalam acara ini.

“Kejayaan mendapat gangsa ini saya anggap sebagai satu bonus serta mengulangi pencapaian di Laos enam tahun lalu.

“Mengenai pungutan mata, memang saya tidak beraksi baik pada hari ini dan ada beberapa kesilapan telah dilakukan oleh saya,” katanya.

Sementara itu, Muslifah, yang mencatat mata terendah berban­ding semua peserta lain, berkata dia terpaksa menjadi peserta ‘bidan terjun’ dalam acara itu kerana menggantikan Shaheera Rahim Raja yang baru mendapat cahaya mata.

“Sebenarnya sudah lama saya tak mengambil bahagian dalam acara ini kerana saya banyak berlatih untuk acara 50 meter air rifle, namun diminta oleh pihak pengurusan ke­rana Shaheera baru bersalin.

“Saya juga berdepan kesukaran dengan tahap ketinggian papan lapang sasar di sini memandangkan sistem di sini semuanya menggunakan elektronik sedangkan kami di Malaysia masih guna cara manual,” katanya yang sekadar membidik 401.2 mata pada pusingan kelayakan. 

Sumber: UTUSAN

No comments:

Post a Comment