Thursday, December 3, 2009

Atlet bingung ujian saat akhir

KUALA LUMPUR - Ketika Sukan SEA tinggal kurang seminggu untuk berlangsung, tindakan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) mengadakan ujian untuk acara 400 meter lelaki dan wanita, Ahad ini membingungkan atlet negara.

Malah, di kalangan atlet wanita kebanyakannya masih tidak pasti sama ada mereka akan berlari dalam acara 4x400m yang hanya disenaraikan di saat akhir.

Bagi KOAM, mereka punya sebab untuk menjalankan ujian tersebut, iaitu bagi memastikan hanya yang terbaik dibawa ke temasya Laos, 9-18 Disember.

Namun bagi atlet, mengadakan percubaan ketika Sukan SEA sudah terlalu hampir adalah tindakan yang tidak adil kerana mereka mungkin boleh digugurkan sekiranya gagal mencatat masa yang memberangsangkan hanya pada sesi ujian sehari itu.

"Jangan anggap ini sebagai sesi percubaan, ia cuma ujian untuk mengetahui sejauh mana tahap kecergasan atlet kita sebelum ke Sukan SEA, ia tidak patut diambil terlalu serius,'' kata ketua jurulatih Sukan SEA negara, Harun Rasheed ketika diminta mengulas relevan untuk mengadakan ujian berkenaan.

Walaupun enggan mengklasifikasikan sesi tersebut sebagai percubaan, namun Harun tidak menolak bahawa kedudukan kuartet 4x400m masih boleh berubah, malah slot bagi dua acara individu 400m juga belum terisi biarpun nama sudah diumumkan KOAM sebelum ini.

"Ada enam pelari akan mengambil bahagian pada sesi hujung minggu ini, siapa yang memiliki catatan terkini yang terbaik akan mengisi kuota 4x400m. Untuk acara individu, dua pelari yang paling bagus akan mengisi slot.

"Bagaimanapun saya percaya, ujian masih akan didominasi oleh atlet utama, jadi sesi ini boleh digunakan untuk mengatur strategi seperti siapa akan menjadi pelari pertama, kedua, ketiga dan terakhir,'' katanya lagi.

Dalam senarai asal yang dikeluarkan KOAM minggu lalu, pemenang pingat gangsa Sukan SEA Korat, Zaiful Zainal Abidin akan beraksi dalam acara 400m individu dan berganti-ganti bersama Mohd. Zafril Zuslaini.

Mohd. Idris Zakaria dan P. Yuvaaraj pula melengkapkan kuartet 4x400. Idris turut disenaraikan untuk acara 100m.

Bagi saingan wanita pula, hanya tiga atlet disenaraikan untuk kuartet 4x400m, diketuai jaguh 800m, K. Ganthimati, Nurul Faezah Asma Mazlan dan Norrohida Baidawi, manakala kedudukan Noraseela Khalid masih tidak pasti.

Bagaimanapun tempat Noraseela dalam acara individu - 400m dan 400m lari berpagar sudah terjamin, dan pelari itu tidak perlu menjalani ujian hujung minggu ini.

"Setakat ini saya tidak diberitahu oleh sesiapa untuk berlari dalam acara 4x400m. Sudah tentu saya kena berlari kalau diminta tetapi jangan buat keputusan pada saat akhir.

"Saya sendiri tidak tahu siapa lagi akan berlari dalam acara itu, malah di antara kami saling tidak mengetahui adakah kami kena berlari atau tidak, ia tidak sepatutnya begini,'' kata Noraseela.

Bagi Zaiful, 27, dia tidak tahu apakah keperluannya untuk mengadakan ujian ketika Sukan SEA sudah terlalu hampir, malah mengapa ia hanya dikenakan ke atas acara 400m.

"Sebelum ini mereka (KOAM) kata Terbuka Malaysia, Perak dan Singapura adalah medan pemilihan terakhir dan kami sudah menjalani semuanya tetapi mengapa tiba-tiba masih ada ujian yang kena dilakukan ketika Temasya sudah terlalu hampir. Saya cuma tidak faham.

"Kalau untuk menguji tahap kecergasan atau prestasi semasa kami, mengapa ujian yang sama tidak dijalankan ke atas acara lain, mengapa hanya 400m,'' kata Zaiful.

Acara olahraga Sukan SEA akan bermula dari 13-17 Disember ini, dan kuartet 4x400m lelaki adalah salah satu daripada lapan emas yang disasarkan KOAM.

No comments:

Post a Comment