Thursday, July 9, 2009

KBS mula 'panik' aksi pelik takraw

Oleh Meor Hisham Zulkifli dan Hasnira Hassan
bhsukan@bharian.com.my


Datuk Razali Ibrahim (kanan).

Kita tak mahu dengar alasan: Razali

AIB yang dicipta Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kini menyaksikan Kementerian Belia dan Sukan seakan-akan menekan butang panik ketika mentakrif 'era gelap' itu sebagai masalah besar, bimbang populariti sukan warisan itu merudum dan lebih menakutkan ia digugurkan daripada sukan teras.

Andai kata dikota, ia bakal menyaksikan limpahan berjuta ringgit yang setiap tahun dipohon PSM akan berakhir kecuali langkah pemulihan segera dilakukan terutama ketika sudah ada bayangan usul untuk turut menggugurkan sepak takraw daripada Sukan Asia.

Sepakat dinyatakan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek dan Timbalannya, Datuk Razali Ibrahim, betapa kekalahan skuad negara adalah memalukan selain menuntut laporan penuh daripada PSM.

“Adalah mendukacitakan kita tewas kepada pasukan yang sebelum ini dianggap kerdil dan ia memberi tafsiran memalukan di kalangan peminat. Kita mahu mengenal pasti apakah punca keadaan ini,” kata Ahmad Shabery, semalam.

Sementara itu, Razali berkata, sepak takraw seharusnya tidak dibuai mimpi kegemilangan silam sebaliknya mempersiapkan diri dengan realiti sukan berkenaan ketika ini yang menuntut kesungguhan dan komitmen semua pihak.

“Kita tidak mahu dengar apa juga alasan terhadap kekalahan dan tidak perlu menuding jari. Tidak guna juga kita bersedih kerana apa yang penting ketika ini adalah usaha memartabatkan kembali sukan ini,” kata Razali.

Beliau berkata demikian ketika mengulas persembahan terburuk skuad negara dalam sejarah sukan sepak takraw pada Kejohanan Piala Raja Thai yang berakhir, kelmarin.

Dalam kejohanan itu, Malaysia tewas kepada Thailand 2-0 pada final antara pasukan, sejurus selepas tunduk kepada Korea Selatan pada separuh akhir acara beregu 2-1, menyusuli kekalahan kepada Indonesia dalam final acara antara regu 2-0.

Kekalahan itu juga menyusuli kekalahan buat pertama kali skuad negara kepada regu dari Indonesia pada kejohanan Piala Dunia di Terengganu pada bulan lalu. Selain itu, skuad wanita juga turut hambar apabila tewas kepada India dan Jepun, negara yang masih mentah dalam sepak takraw.

Razali berkata, hakikat yang terpaksa diterima menjelang Temasya Sukan Sea di Laos, Disember nanti adalah pasukan negara tidak lagi dianggap gergasi yang mencetuskan rasa gerun pihak lawan.

“Harus ada pendekatan yang terperinci untuk mengatasi masalah ini. Usaha perlu dilakukan dengan lebih bersungguh-sungguh. Namun apakah dalam tempoh empat atau lima bulan kita boleh dapat pemain yang baik?”

No comments:

Post a Comment