Oleh Nor Hairulnizam Wahid
hairulnizam@hmetro.com.my
MELEPASI halangan ke Sukan Sea Laos begitu awal sebaik tamatnya Kejohanan Angkat Berat Asia di Kazakhstan, 16 Mei lalu pastinya melegakan atlit angkat berat dari Pahang, Zulkifli Che Ros.
“Saya tidak sangka berjaya layak begitu cepat. Kini, saya tidak perlu bersusah payah memikirkan mengenai kelayakan sebaliknya hanya perlu memberi tumpuan terhadap persediaan ke Sukan Sea,” katanya yang kini bercuti seminggu selepas kejohanan terbabit.
Meskipun menduduki tangga ke-11, dengan jumlah angkatan 302kg yang dilakukan membolehkan peserta kategori 77 kilogram menempah tiket awal ke Sukan Sea bersama Naharuddin Mahyudin (62kg) dan Nurul Farhana Johari (63kg).
Seperti diduga, lapan atlit angkat berat negara gagal meraih sebarang pingat tetapi kejohanan itu dijadikan landasansebagai pendedahan selain memastikan kelayakan awal ke Sukan Sea.
Begitupun layak ke Sukan Sea saja belum memadai buat atlit berkenaan yang pernah berdepan pengalaman pahit dalam penampilan pertamanya di Sukan Sea Korat dua tahun lalu apabila menduduki tangga tercorot bagi kategori 85 kg.
Justeru dia mahu memastikan kehadiran kali keduanya lebih memberi makna terutamanya selepas menjalani latihan di Haikou, China awal tahun ini, sebelum berangkat ke Kazakhstan.
“Latihan di Haikou berbeza berbanding di Kunming terutamanya dengan keadaan pusat latihan lebih besar dan kemudahan sempurna.
“Secara tidak langsung ia memberi kesan terhadap angkatan saya dan berharap dapat meraih pingat di Sukan Sea,” katanya.
METRO
No comments:
Post a Comment