KEMAMPUAN skuad negara akan diuji pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia di Kuala Terengganu yang bakal berlangsung 25 Mei ini.
Ia akan menjadi medan untuk menilai prestasi semua pemain yang turut menggalas cabaran negara pada Sukan SEA di Laos penghujung tahun ini.
Demikian jelas Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) semalam yang meletakkan sasaran untuk meraih pingat emas di Laos kelak.
Setiausaha Agung PSM, Datuk Arshad Yahya berkata, jika skuad negara mampu melangkah ke pusingan akhir pada Kejohanan Piala Dunia kelak, maka peluang untuk meraih emas di Laos adalah cerah.
"Kita menyasarkan satu pingat emas pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia nanti.
"Ia sama ada diraih oleh skuad wanita mahupun lelaki.
"Apa yang lebih penting kejohanan ini adalah untuk mengukur kemampuan pemain negara bagi menghadapi Sukan SEA nanti," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan tajaan untuk perlawa- nan sepak takraw persahabatan antara Media Malaysia dengan pasukan artis di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil semalam.
Menurut Arshad, Malaysia akan menghantar pasukan terbaik lelaki dan wanita ke kejohanan di Terengganu itu yang turut disertai 14 negara lain.
Antara negara yang sudah mengesahkan penyertaan ialah Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, Vietnam, China, Taiwan, Myanmar, India, Pakistan dan Iran.
Arshad berkata, pemain utama, Mohd. Azlan Abdul Mubin tidak beraksi pada kejohanan tersebut kerana mengalami kecederaan.
Ditanya jika skuad negara gagal meraih sebarang pingat, Arshad berkata, pemain negara masih mempunyai peluang untuk memperbaiki kelemahan sebelum Sukan SEA bermula.
"Jika gagal mencapai sasaran, besar kemungkinan keseluruhan pasukan akan dirombak selain memikirkan strategi baru untuk memantapkan lagi gaya persem- bahan.
"Apa pun saya menaruh harapan agar skuad negara mampu meraih pingat emas pada Piala Dunia kelak," katanya.
KOSMO
No comments:
Post a Comment