Monday, April 6, 2009

Pro & Kontra: Najib mampu buat transformasi sukan

PELANTIKAN Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia yang baru, Jumaat lalu, adalah perkhabaran menggembirakan seluruh penggiat sukan negara.

Ia kerana Najib adalah penggerak utama sukan negara, menepati status selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet mengenai Pembangunan Sukan yang merangka pelbagai pelan untuk memastikan arena sukan negara mencapai tahap segemilang mungkin.

Saya mengucapkan tahniah kepada beliau yang juga adalah bekas Menteri Belia dan Sukan pertama diberi penghormatan mengisi jawatan itu.

Jasa dan sumbangan Najib kepada sukan negara memang terlalu banyak untuk diperkatakan, termasuklah memikul peranan selaku tunjang utama di sebalik pencapaian hebat kontinjen negara pada Sukan Sea 1989.

Minatnya terhadap dua sukan utama negara - bola sepak dan badminton - memang terbukti. Malah saya sempat bersama dalam satu pasukan dengan beliau ketika anggota kabinet dan ahli Parlimen turun padang pada perlawanan persahabatan menentang bintang Bollywood bersempena festival filem, dua tahun lalu.

Saya percaya beliau akan menjadi pendorong utama kepada misi negara untuk memastikan ada atlit kebangsaan mampu membawa pulang pingat emas sulung Sukan Olimpik, tiga tahun lagi.

Saya juga amat yakin beliau akan melakukan suatu transformasi baru terhadap bidang sukan negara, selari dengan perutusannya, Jumaat lalu, untuk sentiasa berpegang kepada iltizam memenuhi keperluan, kepentingan dan aspirasi setiap warga Malaysia.

Menerusi semangat sebegitu, satu perubahan besar akan mampu dilakukan, sekali gus meniupkan semangat baru supaya pentadbir, pemimpin dan atlit sukan negara sedia menongkah arus dan sama-sama bergerak seiring dengan keazaman beliau. Syabas dan tahniah diucapkan.

No comments:

Post a Comment