![]() |
CHONG WEI berhasrat untuk beraksi di pentas Sukan SEA 2009. |
JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengakui dia masih berhasrat untuk beraksi pada temasya Sukan SEA di Laos tahun ini, lapor RADIAH SAORI.
Menurut Chong Wei, jika diberi kebenaran, dia pasti akan cuba memburu pingat emas individu pertamanya pada temasya sukan dwitahunan itu.
Meskipun berjaya meraih pelbagai kejayaan yang lebih besar termasuk meraih pingat perak pada Sukan Olimpik di Beijing tahun lepas, Chong Wei masih gagal untuk memperolehi pingat emas individu pertama pada Sukan SEA.
Begitupun menurut Chong Wei, semuanya bergantung kepada Majlis Sukan Negara (MSN) serta Persatuan Badminton malaysia (BAM) yang sebelum ini berura-ura untuk menghantar barisan pelapis negara ke Laos.
"Jika diberi peluang, sudah tentu saya ingin beraksi pada Sukan SEA tahun ini," kata Chong Wei semalam.
"Saya berjaya meraih emas berpasukan tetapi masih belum penah meraih pingat emas individu pada temasya ini. Pencapaian terbaik saya hanyalah meraih pingat gangsa di Manila 2005.
"Namun, ini semua bergantung kepada MSN dan BAM. Mereka yang akan menentukan pemain yang akan beraksi di Laos tetapi sebelum ini terdapat khabar angin bahawa hanya pemain pelapis sahaja yang akan disenaraikan."
Sementara itu, jurulatih beregu negara, Rexy Mainaky turut mencadangkan agar skuad negara menghantar barisan pemain terbaik ke Laos bagi menandingi Indonesia yang juga bakal membariskan pemain terkemuka.
"Memang patut Malaysia menghantar barisan pemain elit ke Laos kerana pemain pelapis sudah pasti tidak mampu untuk menandingi pemain Indonesia yang dibarisi pemain terbaik mereka," kata Rexy.
Sukan SEA Laos akan diadakan bermula 9 hingga 18 Disember depan.
No comments:
Post a Comment