Wednesday, October 14, 2009

Robani masih intai peluang ke Laos

Oleh Lukman Salleh
lukmsal@bharian.com.my


Robani Hassan

Kecederaan betis kiri jejas impiannya

PELARI 110 meter berpagar kebangsaan, Robani Hassan masih menaruh harapan agar kecederaan betis kiri yang dialaminya tidak serius bagi membolehkannya beraksi di Sukan Sea XXV di Vientiane, Laos, Disember ini selepas dikecewakan di Korat dua tahun lalu, akibat masalah yang sama.

Sama ada bernasib malang ataupun sudah takdir, Robani tetapi berdoa pemeriksaan di Institut Sukan Negara (ISN) minggu depan akan menghadirkan berita ceria dan kecederaan itu tidak serius seperti yang dijangkakan pada permulaannya.

"Saya amat berharap ia (kecederaan) tidak serius," kata Robani. "Kalau terkoyak pun saya berharap tidak besar hingga memaksa saya berehat panjang dan terlepas aksi di Vientiane.


"Selepas tidak bertanding di Korat dua tahun lalu akibat situasi hampir sama, saya memang mahu beraksi di Laos.

"Saya pun tidak tahu kenapa nasib saya agak malang. Sebenarnya persembahan saya tahun ini sudah konsisten, sebab itu begitu terkilan apabila keadaan ini berlaku.

"Sama ada saya akan dapat beraksi di Laos, semuanya bergantung kepada pemeriksaan doktor. Apapun kecederaan ini tidak menggugat semangat saya untuk terus beraksi dalam olahraga," katanya.

Robani mengalami kecederaan itu sebelum beraksi dalam final 110m berpagar pada Kejohanan Terbuka Kebangsaan di Stadium Nasional Bukit Jalil yang berakhir Ahad lalu.

Pemenang emas Sukan Sea 2005 itu tidak dapat mempertahankan kejuaraannya di Korat apabila mengalami kecederaan, sekali gus membuka peluang kepada rakan senegara, Rayzamshah Wan Sofian untuk menjuarainya.

No comments:

Post a Comment