Monday, October 12, 2009

Jironi lepasi had kelayakan ke Sukan SEA


MOHD. Jironi (depan) menjuarai acara 800m semalam.


ATLET kebangsaan, Mohd. Jironi Riduan menjadi atlet tunggal negara yang berjaya melepasi masa kelayakan ke Sukan SEA di Laos, Disember ini.

Dia melepasi had kelayakan bagi acara 800 meter selepas berakhirnya Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia ke-86 di Stadium Nasional, Bukit Jalil semalam. Mohd. Jironi yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mencatatkan masa 1 minit 52.23 saat untuk menjuarai acara 800 meter, melepasi masa yang ditetapkan untuk kategori A iaitu 1:52.72s.

Namun, kejayaan itu bukan jaminan untuk beliau beraksi di Sukan SEA Laos kerana untuk acara itu sahaja dua atlet kebangsaan sebelum ini telah pun layak di bawah kategori A iaitu M.Vadivellan dan S. Mathialagan. Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Karim Ibrahim berkata, kejayaan Mohd. Jironi itu bermakna beliau akan turut dipertimbang untuk beraksi di Sukan SEA Loas.

"Kita hanya akan menghantar atlet-atlet yang boleh memberi pingat kepada negara dan tidak mahu mereka sebagai penumpang sahaja ke temasya dwi tahunan itu," katanya kepada pemberita selepas berakhirnya kejohanan dua hari itu.

KOAM kini mempunyai masa sehingga esok untuk menyerahkan senarai penuh atletnya kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk disenaraikan di bawah kategori A iaitu yang layak secara merit dan perbelanjaan mereka akan ditanggung sepenuhnya oleh MOM.

Atlet di bawah kategori B pula akan dibiayai oleh KOAM.

Karim berkata, buat masa ini beliau belum dapat memberikan jumlah sebenar atlet yang akan disenaraikan di bawah kategori B kerana KOAM akan mengadakan satu mesyuarat dalam masa terdekat untuk memutuskannya.

"Kita akan menilai setiap atlet yang berpotensi melalui catatan yang dilakukan sepanjang tahun serta mendapatkan pandangan dan cadangan daripada jurulatih tentang siapa yang harus dipilih," katanya.


NORASEELA (kiri) masih belum ada saingan dalam acara 400m lari berpagar.


Mengenai nasib dua atlet bagi acara 110 meter lari berpagar kebangsaan, Mohd. Robbani Hassan dan Rayzam Syah Wan Sofian, Karim berkata, beliau akan menunggu laporan daripada Institut Sukan Negara (ISN) terlebih dahulu untuk mengetahui tahap kecederaan yang mereka alami.

Mohd. Robbani merupakan juara bagi acara itu pada Sukan SEA 2005 manakala Rayzam Syah merupakan juara pada Sukan SEA Korat, Thailand dua tahun lepas namun kedua-duanya masih gagal melepasi had kelayakan setelah mengalami kecederaan kelmarin.

Selain Mohd. Jironi, turut cemerlang pada hari terakhir semalam ialah Noraseela Mohd. Khalid yang meneruskan penguasaaan dalam acara 400 meter lari berpagar wanita dengan mencatatkan masa 56.92 saat.

Kelmarin, di turut menguasai acara 400 meter.

Melinda Kaur turut menceriakan kem negara apabila memenangi acara 3,000 meter lari berhalangan dengan catatan 11 minit 04.20s menewaskan dua peserta dari Iran, namun acara itu tidak dipertandingkan di Sukan SEA Laos. Karim bagaimanapun berkata disebabkan kecemerlangan dan potensi yang ditunjukkan itu, Melinda mungkin akan dipertimbangkan untuk menyertai acara 5,000 meter di Loas nanti.

Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang berlangsung selama dua hari merupakan platform terakhir bagi atlet-atlet kebangsaan untuk melayakkan diri ke Sukan SEA dengan 12 atlet termasuk Mohd. Jironi telah mengesahkan tempat di dalam kategori A.

No comments:

Post a Comment