Monday, September 14, 2009

Sepak takraw: Singapura rayu bertanding di Sukan SEA Laos

KUALA LUMPUR - Memikirkan nilai sejarah dan kesinambungannya serta hak kelayakan menerusi merit perlu diperjuangkan, Persekutuan Sepak Takraw Singapura (Perses) bertegas untuk membuat rayuan khas kepada Timbalan Perdana Menterinya pula bagi menyertai Sukan SEA Laos dari 8 hingga 19 Disember ini.

Kepada Teo Chee Hean yang juga Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Singapura (SNOC), peluang terakhir menghantar pasukan sepak takraw ke temasya dwitahunan itu dikemukakan walaupun selepas rayuan pertama ditolak, Jumaat lalu dan pemilihan awal diputuskan.

Presiden Perses, Abdul Halim Kader berkata, alangkah malang dan janggalnya apabila buat kali pertamanya sepak takraw Sukan SEA berlangsung tanpa aksi Singapura yang merupakan salah satu negara pengasas bersama sukan ini bersama Malaysia dan Thailand ke temasya itu di Kuala Lumpur pada 1965.

"Justeru memikirkan nilai dan kepentingan ini perlu dipertahankan dan diperjuangkan, Perses akan cuba membuat rayuan khas kepada Chee Hean walaupun akur dengan keputusan SNOC dalam memutuskan rayuan pertama kami," katanya dalam kiriman e-mel kepada Utusan Malaysia.

Ketiadaan Singapura kali ini bakal mencatat satu lagi sejarah pahit sepak takraw Sukan SEA selepas Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) buat kali pertamanya, memulaukan temasya ke-24 di Korat, dua tahun lalu gara-gara berkeras membantah penggunaan bola bersalut getah, Marathon New Generation.

Abdul Halim yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) dan Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) menegaskan, pasukan kebangsaannya sudah mencapai merit untuk ke Laos menerusi beberapa kejohanan besar seperti Kejohanan Dunia Piala Malaysia, Piala Nusantara dan Sukan Dunia.

"Kami mara ke separuh akhir berpasukan Divisyen Dua Kejohanan Dunia Piala Malaysia Ketiga di Kuala Terengganu (Mei lalu), naib juara Piala Nusantara di Johor Bahru (Jun) malah berjaya membawa pulang sebutir perak beregu dan sebutir gangsa antara regu daripada acara demonstrasi Sukan Dunia Kelapan di Kaoshiung (Julai).

"Jadi, masih ada asas kukuh dalam rayuan kami tetapi mungkin SNOC hanya mendasarkan pencapaian kami dalam Sukan SEA Korat 2007 (kedua-dua beregu dan regu Singapura gagal ke separuh akhir) dalam memutuskan penyertaan ke Laos," katanya yang agak terkilan dengan keputusan rayuan awal itu.

Skuad sepak takraw Singapura turut diketepikan daripada Sukan Asia Doha 2006 atas alasan kurang menyerlah di arena antarabangsa walaupun Perses menyokong kuat kemasukan sukan ini ke temasya sama bermula di Beijing 1990 selepas sekadar menjadi demonstrasi di New Delhi 1982 dan Bangkok 1970.

No comments:

Post a Comment