KUALA LUMPUR - Walaupun sudah mempunyai senarai nama awal, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tetap akan mengadakan pemilihan terbuka untuk mencari pelumba lebuh raya yang akan membawa cabaran negara ke Sukan SEA di Laos.
Pemilihan tersebut akan diadakan di laluan sama dilangsung acara lebuh raya Mini Olimpik bulan lalu iaitu di Putrajaya.
Pengurus pasukan negara ke Sukan SEA, Datuk Ahmad Sidi Ismail berkata, pihaknya berbuat demikian untuk berlaku adil di samping memberi peluang kepada mana-mana pelumba yang berkeupayaan tetapi berhajat untuk beraksi di temasya sukan dwi-tahunan itu.
"Kita mahu semua pelumba diberi peluang supaya mana-mana bakat terpendam yang kita terlepas pandang boleh tampil pada pemilihan yang akan diadakan 10 dan 11 Oktober ini.
"Ia pemilihan terbuka di mana yang terbaik sahaja akan terpilih dan dalam masa sama kedudukan pelumba dalam senarai awal juga belum selamat." katanya ketika dihubungi semalam.
Pada Sukan SEA kali ini, Laos hanya menyenaraikan tiga acara berbasikal iaitu basikal bukit, lebuh raya dan ujian masa.
Malaysia bakal menyertai semua acara dengan menghantar empat pelumba lelaki dan empat pelumba wanita untuk lebuh raya serta dua pelumba lelaki dan dua pelumba wanita untuk ujian masa.
Dalam acara basikal bukit, Malaysia akan mempunyai dua wakil wanita dalam merentas desa sahaja di samping dua wakil lelaki dalam setiap acara merentas desa dan menuruni bukit.
"Kita akan berbincang dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dalam masa terdekat ini untuk memaklumkan jumlah sebenar pelumba ke Sukan SEA itu nanti," tegas Ahmad Sidi.
ade lagi tak pemilihan menjadi seorang pelumba?
ReplyDelete