lukmsal@bharian.com.my
Datuk Dr Ramlan Aziz |
Isi jawatan chef-de-mission Sukan Sea XXV Vientiane
KETUA Pengarah Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Aziz dilantik chef-de-mission Sukan Sea XXV di Vientiane, Laos, Disember ini.
Pelantikan itu disahkan Setiausaha Agung Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi sekali gus menamatkan tanda tanya mengenai tokoh yang bakal memikul tanggungjawab bagi memastikan kontinjen negara mengekal dan meneruskan kecemerlangan Sukan Sea.
“Ya, saya boleh sahkan Dr Ramlan akan menjadi chef-de-mission Sukan Sea di Laos,” kata Kok Chi. “Pelantikannya sudah mendapat persetujuan daripada Menteri Belia dan Sukan. MOM akan maklumkan kepada Dr Ramlan.”
Kali terakhir pegawai kerajaan dilantik menjadi chef-de-mission adalah lapan tahun lalu, sewaktu Ketua Pengarah MSN ketika itu, Datuk Wira Mazlan Ahmad dilantik mengetuai pasukan negara untuk muncul juara Sukan Sea Kuala Lumpur 2001 dengan kutipan 111 emas untuk muncul juara keseluruhan.
Dua tahun lalu, Presiden Persatuan Olahraga Negeri Sembilan, Datuk Zainal Abidin Ahmad menerajui kontinjen negara ke temasya Korat dan membawa kejayaan gemilang dengan meraih 68 emas serta menduduki tempat kedua di belakang Thailand dalam pungutan pingat keseluruhan.
Ia pastinya memberi cabaran kepada Dr Ramlan untuk mengulangi kejayaan yang dicapai Zainal sekalipun temasya kali ini hanya mempertandingkan sejumlah 25 sukan.
“Saya berasa gembira dan bagi saya, pelantikan menjadi semacam satu kelaziman dan bukannya sesuatu yang janggal,” kata Dr Ramlan. “Ini kerana sebelum ini saya sudah banyak kali terbabit dengan kontinjen negara dalam beberapa temasya seperti Sukan Komanwel dan Asia 2006.
“Oleh itu, saya tidak rasa ini sebagai sesuatu yang menyulitkan sebaliknya sebagai tugas yang perlu dilaksanakan dan yakin semua pihak akan dapat bekerjasama untuk kejayaan pasukan,” katanya.
Sukan Sea XXV akan mempertandingkan sejumlah 25 sukan dengan beberapa sukan yang menjadi tuaian emas negara ketika di Korat, dua tahun lalu digugurkan seperti gimnastik, ekuestrian, basikal trek, lawn bowl, tenpin bowling dan bola keranjang.
No comments:
Post a Comment