Wednesday, November 2, 2011

Skuad sepak takraw bingung undian belum putus

TEKA-TEKI Indonesia berhubung jadual serta undian acara sepak takraw pada Sukan SEA XXVI membingungkan skuad negara yang setakat ini masih belum memperoleh butiran muktamad mengenainya, sekali gus menyukarkan mereka membuat percaturan strategi untuk menghadapi lawan pada temasya itu nanti.
Masalah itu dikatakan berpunca daripada kekurangan jumlah penyertaan pasukan yang mana acara berpasukan yang hanya disertai empat negara - Malaysia, Thailand, Indonesia dan Myanmar - mungkin terpaksa dilangsungkan secara liga sepusingan berbanding pembahagian kepada dua kumpulan seperti kebiasaan.

Namun, tatkala temasya itu bakal berlangsung dalam tempoh kira-kira seminggu saja lagi, tindakan tuan rumah yang masih belum mengeluarkan maklumat mengenai jadual dan undian dilihat sebagai strategi mereka untuk memperoleh kelebihan terutama dalam menyusun jadual pertandingan yang memihak kepada mereka.

“Difahamkan, acara sepak takraw mungkin akan dilewatkan sehari berbanding jadual asal pada 11 November dan mereka juga mungkin menukar format pertandingan dengan memulakan acara antara regu terlebih dulu, diikuti acara double dan berpasukan berbanding kebiasaan iaitu acara berpasukan, diikuti double dan antara regu.

“Saya percaya semua itu dilakukan tuan rumah untuk mencari kelebihan dalam mengatur strategi mereka, khususnya acara berpasukan yang mana mereka kini boleh menyusun jadual mengikut keutamaan yang berpihak kepada mereka,” kata ketua jurulatih kebangsaan, Jamaluddin Hassan (atas), semalam.

Skuad sepak takraw negara kali terakhir meraih pingat emas Sukan SEA pada temasya di Manila 2005 dan pada temasya kali ini, Malaysia mensasarkan sekurang-kurangnya satu pingat emas tanpa mengira acara. - BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment