Wednesday, October 19, 2011

Olahraga sasar enam emas di Sukan Sea

ENAM emas, jumlah yang sama menjadi sasaran skuad olahraga pada temasya Sukan Sea Indonesia dengan 16 atlet akan bersaing dalam kategori A.

Bagaimanapun jumlah pingat dan atlet mungkin akan bertukar apabila mereka turun beraksi di Kejohanan Olahraga Kuala Lumpur di Bukit Jalil, hujung minggu ini.

Pengurus pasukan olahraga ke Sukan Sea 2011 yang akan bermula dari 11 hingga 22 November ini, Rajemah Sheikh Ahmad, berkata senarai akhir atlet ke Sukan Sea hanya akan diketahui selepas hujung minggu ini dengan nama atlet yang akan beraksi dalam acara 4x100 dan 4x400m akan diumumkan pada 25 Oktober.

Katanya, ketika ini seramai 13 atlet olahraga negara menjalani latihan fasa akhir di Miri, Sarawak sebagai persediaan menghadapi Sukan Sea selepas hasrat untuk menjalani latihan di Palembang tidak kesampaian apabila penganjur tidak membenarkan atlet luar untuk berlatih di sana.

“Setakat ini hanya 16 atlet berada dalam kategori A termasuk dua nama baru iaitu Mohd Jironi Riduan (800m) dan Ahmad Najwan Aqra Hassaim (lompat tinggi).

“Namun untuk acara 4x100 dan 4x400m belum ada sebarang nama rasmi yang dikeluarkan oleh persatuan dan satu ujian dalaman akan dilakukan pada 25 September ini sama ada di Miri atau Brunei dan kita akan memanggil Siti Zubaidah Abadi untuk sama bertanding dalam pemilihan dalaman itu,” katanya.

Sementara, tanpa kehadiran seorang lagi pelari yang berada dalam kuartet asal 4x100m, Siti Fatimah Mohamad kerana kecederaan membuka peluang kepada pelari muda seperti S KOmalam dan Zaidatul Husna Zulkifli untuk disenaraikan buat pertama kali ke Sukan Sea. 





Oleh Aida Adilah Mat
aida@hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment