Thursday, August 4, 2011

MOM perlu selesai isu berat sebelah: Zolkples

MAJLIS Sukan Negara (MSN) menuntut Majlis Olimpik Malaysia (MOM) memainkan peranan bagi memastikan keputusan berat sebelah terutama dalam sukan subjektif yang sering mencetuskan kontroversi di temasya Sukan SEA tidak berulang pada Sukan SEA XXVI di Indonesia, November ini.

Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, berkata pihaknya tidak mahu keputusan berat sebelah dalam sukan subjektif terus mencemari temasya dwitahunan itu, sekali gus menyentap semangat atlit yang bertanding atas semangat kesukanan.

“Masalah berhubung keputusan berat sebelah adalah antara yang perlu diberi perhatian dan diperjuangkan MOM dengan menggesa Persekutuan Sukan SEA (SGF) menghentikan amalan ini.

“Sesungguhnya, keputusan berat sebelah terutama yang sering memihak atlit tuan rumah mampu ‘membunuh’ semangat atlit lain yang sudah tentu mengharapkan keadilan dalam pengadilan.

“Kerana bimbang ia terus mencemari temasya dwitahunan ini, saya meminta sasaran pingat kontinjen negara diperhalusi semula kerana tidak mahu sasaran tinggi diletakkan menerusi sukan subjektif,” katanya semalam.

Zolkples bagaimanapun berkata, belum tiba masa bagi pihaknya mengumumkan sasaran pingat pada temasya di Palembang dan Jakarta itu kerana senarai penuh nama atlit yang bertanding belum dilengkapkan sepenuhnya.

“Begitupun, persiapan menghadapi temasya itu berjalan lancar dan kontinjen kali ini membabitkan kombinasi atlit senior dan pelapis. Kita akan mengumumkan jumlah pingat sasaran selepas semua perkara berkaitan diselesaikan, mungkin sebulan sebelum temasya bermula,” katanya





BERITA HARIAN

No comments:

Post a Comment