Monday, July 25, 2011

Faiz pecah rekod 11 tahun angkat berat

KUALA LUMPUR - Atlet angkat berat negara, Mohd. Faiz Musa berjaya memadamkan rekod kebangsaan acara clean and jerk bagi kategori 94 kilogram dengan angkatan 191 kilogram, mengatasi rekod lama milik Edmund Yeo iaitu 190 kilogram.

Kejayaan itu dicatatkan pada kejohanan kelayakan ke Sukan SEA anjuran Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Angkat Berat Malaysia di sini, semalam.
Pencapaian itu membolehkan Mohd. Faiz, pemenang pingat perak Sukan SEA di Laos dua tahun lalu, menempah tiket ke Sukan SEA di Indonesia, November ini.

Mohd. Faiz berpuas hati kerana kerana hasrat untuk memadamkan rekod kebangsaan tercapai dan lebih menggembirakan pencapaian itu turut melayakkan dirinya mewakili negara ke Sukan SEA.

"Akhirnya rekod 11 tahun kategori ini berjaya di atasi. Sasaran saya kini ialah untuk memadamkan rekod bagi acara snatch pula.
"Pada kejohanan kali ini, saya hanya mampu membuat angkatan 145 kilogram bagi kategori snatch, dan untuk memadamkan rekod saya perlu membuat angkatan 152 kilogram," ujarnya.

Ditanya harapannya pada Sukan SEA nanti, Mohd. Faiz berkata, beliau tidak mahu meletakkan sasaran yang tinggi kerana sedar dengan saingan yang akan diberikan oleh atlet angkat berat Thailand.

"Saya hanya meletakkan sasaran untuk mengekalkan pingat perak yang dimenangi dua tahun lalu, tetapi tetap berusaha sebaik mungkin untuk menukar warna kilauan pingat.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada majikan saya iaitu pihak pengurusan Universiti Malaysia Perlis yang memberikan sokongan dan pelepasan untuk saya menjalani latihan," katanya.


UTUSAN MALAYSIA 

No comments:

Post a Comment