Thursday, May 19, 2011

Malaysia hantar kontinjen sederhana ke Sukan SEA

KUALA LUMPUR - Malaysia hanya akan menghantar kontinjen sederhana iaitu sekitar 650 orang atlet dan pegawai pada Sukan SEA di Indonesia, November ini.
Begitupun jumlah kontinjen kali ini 160 lebih ramai daripada bilangan yang dihantar pada Sukan SEA Laos dua tahun lalu.

Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi berkata, jumlah sebenar kontinjen negara akan diputuskan pada Mesyuarat Majlis Pemilihan MOM Julai ini, yang turut disertai wakil daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN).

"Pada kebiasaannya, jumlah kontinjen yang dihantar bergantung kepada jenis sukan yang dipertandingkan, jika jumlah acara yang dipertandingkan banyak, bilangan kontinjen juga akan bertambah.
"Angka yang saya berikan ini cuma anggaran dan jumlah tersebut boleh dianggap biasa untuk kejohanan sukan seperti Sukan SEA ," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Kok Chi juga memaklumkan bahawa tarikh akhir untuk setiap persatuan sukan kebangsaan menghantar borang anggaran atlet yang akan beraksi pada Sukan SEA 2011 akan berakhir esok.

"Saya harap semua persatuan sukan dapat melaksanakan tanggungjawab masing-masing sebelum Jumaat ini kerana jumlah tersebut perlu dihantar kepada negara penganjur, sebelum ditapis semula oleh MOM.
"Setakat ini ada dua tiga persatuan yang belum memberikan anggaran atlet mereka yang mahu dihantar ke Sukan SEA," jelas Kok Chi.


UTUSAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment