Thursday, April 7, 2011

Peluang buru tiket Sukan SEA 2011


HUP WEI antara atlet olahraga negara yang telah melayakkan diri pada Sukan SEA 2011 di Jakarta, Indonesia November depan.


KEJOHANAN Olahraga Grand Prix (GP) Kebangsaan Siri 1 esok menjadi medan buat atlet-atlet olahraga negara melepasi had kelayakan ke temasya Sukan SEA 2011 di Indonesia, November depan.

Timbalan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Karim Ibrahim berkata, kejohanan tersebut bukan sahaja diambil kira bagi melepasi had kelayakan ke Sukan SEA, malah turut melayakkan atlet-atlet beraksi ke Kejohanan Trek dan Balapan Asia (ATF) di Jepun, Julai depan.

"Matlamat utama kami ketika ini adalah bagi memastikan lebih ramai atlet-atlet olahraga negara berjaya melepasi had kelayakan ke Sukan SEA dan ATF secara merit.

"Bagi tujuan itu, GP Kebangsaan kali ini bakal menjadi tapak buat atlet-atlet melayakkan diri ke dua kejohanan tersebut," kata Karim ketika sidang media GP Kebangsaan di Bukit Jalil semalam.
Jelas beliau, setakat ini seramai sembilan atlet telahpun melepasi had kelayakan ke Sukan SEA 2011.

Antaranya ialah jaguh lompat tinggi lelaki negara, Lee Hup Wei, Roslinda Samsu (lompat bergalah wanita), Noraseela Khalid (400 meter berhalangan wanita) dan kuartet 4x100 meter wanita yang dibarisi Siti Zubaidah Adabi, Norjannah Hafiszah Jamaluddin, Nurul Sarah Abdul Kadir dan Yee Yi Ling.
Kesemua mereka layak setelah melepasi had kelayakan yang telah ditetapkan ketika beraksi pada temasya Sukan Asia 2010 di Guangzhou, China.

Terbaru, dua atlet jalan kaki lelaki negara, Lo Choon Seang dan Theo Boon Lim turut melayakkan diri ke Indonesia setelah melakukannya pada Kejohanan Grand Prix (GP) Persatuan Olahraga Asia (AAA) di Nomi City, Jepun bulan lalu.

GP Kebangsaan kali ini bakal menyaksikan sebanyak 17 acara dipertandingkan dengan disertai seramai 100 atlet lelaki dan 43 wanita dari seluruh negara.
"Penyertaan atlet pada kejohanan kali ini memang suatu yang di luar jangkaan sehinggakan kami terpaksa menolak penyertaan atlet-atlet yang lambat mengesahkan pendaftaran mereka.

"Namun, ada juga yang menarik diri di saat-saat akhir ekoran masalah kecederaan," jelas Karim.
GP Kebangsaan Siri 1 bakal berlangsung di padang olahraga Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil.



Kosmo

No comments:

Post a Comment