Thursday, March 3, 2011

Usah pingir atlit senior: Kok Chi

MOM harap penghantaran pelapis ke Sukan SEA tak babit semua sukan

JANGAN nafikan hak atlit senior bertanding! Itulah reaksi balas Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi di sebalik rancangan Majlis Sukan Negara (MSN) menghantar atlit pelapis dan pembangunan bertanding di Sukan Sea XXVI, November ini.

“Saya menyambut baik rancangan MSN menghantar barisan pelapis dan pembangunan, tetapi saya harap ia tidak membabitkan semua jenis sukan, sebaliknya hanya sukan tertentu, terutama yang terbabit dalam program ‘Road To London 2012’.

“Ini kerana terdapat beberapa acara sukan di mana kita mempunyai atlit senior berpotensi untuk menang dan seharusnya mereka wajar diberi peluang bertanding, apa lagi, tahun ini tiada sukan temasya, selain Sukan SEA,” katanya.

Kok Chi berkata, langkah menghantar atlit pelapis dan pembangunan memang dialu-alukan sebagai medan pendedahan dan motivasi kepada mereka kerana banyak contoh kejayaan boleh dijadikan panduan.

“Contoh terbaik ialah kejayaan ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah yang kita hantar bertanding di Sukan SEA Singapura 1983.

“Dia gagal membawa pulang sebarang pingat tetapi kegagalan itu dijadikan motivasi meningkatkan prestasi sebelum akhirnya dia merangkul tujuh emas di Sukan SEA Bangkok dua tahun kemudian,” katanya.
Kok Chi berkata, pihaknya akan menghantar surat kepada Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong dalam tempoh terdekat bagi menentukan dasar untuk pemilihan atlit dan sukan yang layak bertanding pada temasya dari 11 hingga 22 November itu. 


B.Harian

No comments:

Post a Comment