Tuesday, February 8, 2011

Sukan SEA XXVI tak relevan

Tindakan tuan rumah mampu menyebabkan temasya hilang seri, prestij

TINDAKAN tuan rumah Sukan SEA XXVI yang berlumba-lumba mahu menjadi juara keseluruhan dengan menyenaraikan acara ‘merapu’ dan memihak kepada atlit sendiri, akan menjadikan temasya dwitahunan itu tidak lagi relevan.

Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong, berkata jika situasi itu berterusan, temasya yang diperkenalkan sejak 1959 itu akan hilang seri dan prestijnya sebagai acara sukan tertinggi rantau Asia Tenggara suatu hari nanti.
“Kita mahu biarlah acara yang dipertandingkan konsisten dengan Sukan Asia dan Olimpik bagi memastikan temasya itu terus relevan, bukannya acara yang merapu semata-mata kerana mahu memberi kelebihan kepada tuan rumah.

“Ini bagi memastikan setiap negara ASEAN dapat menyediakan pelan jangka panjang pembangunan dan persiapan atlit yang lebih tersusun kerana Sukan SEA menjadi asas dan medium melahirkan atlit bertaraf benua atau dunia,” katanya.

Zolkples berkata, pihaknya berharap Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berani menyuarakan pandangan itu pada mesyuarat Majlis dan Jawatankuasa Eksekutif Persekutuan Sukan SEA (SGF) di Denpasar, Bali, 25 Februari ini demi menyelamatkan temasya itu.

“Kita bersetuju dengan keputusan MOM untuk tidak mengambil bahagian dalam sebahagian besar acara yang dipertandingkan di Indonesia November depan kerana sememangnya kita tidak mempunyai atlit.
“Kebanyakan acara merapu ini bersifat sementara dan belum pasti dipertandingkan pada temasya berikutnya kerana tuan rumah lain akan memutuskannya mengikut kehendak sendiri,” kata Zolkples.

Indonesia yang mengelolakan temasya itu buat kali keempat, mempertandingkan 542 pingat emas daripada 44 jenis sukan - sebahagian besarnya memihak kepada atlit mereka dengan harapan mampu muncul juara keseluruhan.


B.Harian

No comments:

Post a Comment